Selasa, 13 Ogos 2019 | 9:23pm

Piala Sultan Selangor 2019 janji aksi menarik, epik

 

KUALA LUMPUR: Saingan Piala Sultan Selangor 2019 yang menyaksikan dua musuh tradisi, Selangor dan Singapura berentap pasti menjanjikan aksi menarik dan epik apabila kedua-dua pasukan akan menampilkan barisan terbaik masing-masing. 

Pengerusi Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, pihaknya yakin peminat yang menyaksikan perlawanan di Stadium Shah Alam, 24 Ogos ini pasti terhibur dengan aksi menarik dan berkualiti akan diperagakan kedua-dua pasukan.  

"Saya difahamkan Pilihan Selangor kali ini berteraskan kepada pasukan Liga Super Selangor dengan nama besar yang beraksi termasuk Amri Yahyah dan Mohd Faiz Nasir. 

“Bagaimanapun, jurulatih (B Sathianathan) akan memanggil beberapa pemain PKNS FC untuk memantapkan lagi pasukan. 

“Begitu juga dengan Pilihan Singapura yang menggabungkan beberapa pemain kelab Singapura sekali gus saya yakin pertembungan ini pasti menyajikan aksi yang menarik dan mendebarkan seperti edisi sebelum ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid di Balai Berita hari ini. Hadir sama Pengarang Eksekutif, Komersial dan Ehwal Semasa BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. 

BH adalah media rasmi Piala Sultan Selangor. 

Selain pertembungan Pilihan Selangor dan Singapura, Piala Sultan Selangor juga menjadi platform terbaik buat peminat mengimbau nostalgia apabila turut membabitkan pertarungan antara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura. 

Antara pemain yang akan memperkuatkan Veteran Selangor adalah legenda Soh Chin Aun, Khalid Ali, Azlisham Ibrahim dan Asmawi Bakiri. 

Menurut Abd Karim, sambutan peminat untuk edisi ke-18 kali ini dilihat agak memberangsangkan selepas 40,000 tiket terjual setakat ini. 

Katanya, pihaknya juga mengalu-alukan orang ramai untuk membanjiri Stadium Shah Alam kali ini dengan hadiah cabutan bertuah sebuah kereta Honda City dan motosikal Harley Davidson menanti pemenang. 

Sejak dianjurkan pada 2001, Pilihan Selangor menjuarai Piala Sultan Selangor sebanyak lapan kali dengan Pilihan Singapura menghimpun tujuh trofi kemenangan. 

Pada edisi tahun lalu, Selangor menyapu bersih semua kategori dipertandingkan iaitu Piala Sultan Selangor, Piala Veteran dan Piala Cabaran Sekolah Singapura-Selangor Bawah 16 Tahun.

1150 dibaca
KHAIDIR (tiga dari kiri) menerima tiket perlawanan daripada Abd Karim (tiga dari kanan) sambil diperhatikan Ahmad Zaini (kiri), YDP Majlis Perbandaran Ampang Jaya Datuk Abdul Hamid Hussein (dua kanan), AJK Piala Sultan selangor, James Lee dan Pegawai Media Necia Abdullah (kanan) di Balai Berita NSTP, Bangsar. NSTP/Rosdan Wahid
Berita Harian X