Selasa, 13 Ogos 2019 | 6:41pm
Pertahanan tengah Terengganu FC (TFC) dari Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan. - NSTP/Khairunisah Lokman

Anas tidak rela pintu gol TFC dibolosi

KUALA TERENGGANU: Pertahanan tengah Terengganu FC (TFC) dari Negeri Sembilan, Nasrullah Haniff Johan mahu melupakan seketika ikatan persaudaraan atas padang apabila dua pasukan itu bertembung dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Sebaliknya pemain lebih mesra dipanggil Anas itu berazam meneruskan aksi terbaiknya dalam misi mencari rentak kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Kumpulan A itu.

Selain itu, pemain yang memulakan kariernya bersama skuad Piala Presiden Negeri Sembilan itu juga sudah bersedia menutup ruang bagi memastikan rangkaian penyerang lawan tidak dapat bergerak bebas sekali gus mengelak pintu golnya daripada dibolosi.

"Beraksi di laman sendiri bertemu skuad Hobin Jang Hobin itu sudah pasti kami mahu catat kemenangan ketiga bagi mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kumpulan seterusnya mengintai peluang ke suku akhir.

"Selepas rakan sepasukan beraksi cemerlang pada dua aksi terdahulu terutama ketika bermain dengan 10 pemain menewaskan Kedah tempoh hari, saya percaya kami mampu mengutip tiga mata.

"Impian peribadi saya untuk menyajikan aksi terbaik dan lebih penting saya mahu pastikan pintu gol tidak bolos sebagaimana ketika bertemu Kedah," katanya.

Berdasarkan kedudukan terkini, naib juara Piala Malaysia musim lalu itu memimpin kumpulan dengan mengumpul enam mata selepas dua perlawanan dengan menumpaskan PKNS 3-1 dan Kedah 2-0.

Nasrullah yang pernah menyarung jersi DRB Hicom pada 2016  sebelum ke Terengganu itu juga mengakui gandingannya dengan bekas pemain import Terengganu FC II, Serhii Andrieiev kian serasi.

784 dibaca
Berita Harian X