Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:43am
PEMAIN berpengalaman Belanda, Wesley Sneijder. - Foto AFP

Wira Belanda Sneijder umum persaraan

THE HAGUE, Belanda: Pemain berpengalaman Belanda Wesley Sneijder mengumumkan persaraannya daripada bola sepak semalam, sekali gus menamatkan karier 17 tahunnya yang dihiasi pelbagai trofi.

Sneijder, 35, yang mewakili negaranya sebanyak 134 kali – tertinggi dalam sejarah pasukan itu – membuat pengumuman berkenaan di laman You Tube kelab kampung halamannya FC Utrecht.

“Hubungan saya dengan bandar ini sangat kuat. Kini saya sudah bersara daripada bola sepak saya mahukan tempat yang bagus untuk berkongsi memori saya,” kata Sneijder yang membeli kotak tempat duduk korporat di stadium kelab berkenaan.

Sneijder, yang membuat penampilan sulung pada tahun 2003 ketika berusia 19 tahun, muncul naib juara Piala Dunia 2010 bersama skuad Oranje di Afrika Selatan selepas tewas kepada Sepanyol.

 

Persembahannya di kejohanan itu menyaksikan dia menerima Bola Perak sebagai pemain kedua terbaik di belakang Diego Forlan dari Uruguay.

Empat tahun kemudian di Brazil, dia memimpin pasukannya menduduki tangga ketiga selepas tewas penentuan penalti kepada Argentina di separuh akhir. Dia turut tersenarai dalam Kesebelasan Terbaik Euro 2008 walaupun pasukannya tersingkir di tangan Russia pada aksi suku akhir.

Perjalanan ke final Piala Dunia 2010 hadir selepas musim terbaiknya di arena bola sepak kelab, apabila pemain yang menyarung jersi nombor 10 Inter Milan itu membawa pasukannya memenangi Serie A, Piala Itali dan Liga Juara-Juara di bawah kendalian Jose Mourinho.

Selepas menamatkan latihan di akademi Ajax pada tahun 2002, Sneijder memenangi gelaran Eredivisie dan dua Piala Belanda sepanjang lima tahun bersama skuad utama kelab ibu kota itu sebelum berpindah ke Real Madrid di mana dia bergandingan dengan rakan senegara Arjen Robben.

Dia memenangi gelaran La Liga pada tahun 2008 sebelum menyertai Inter setahun kemudian, memenangi treble dan kemudian mengalami siri kecederaan dan berpindah ke Gala di mana dia memenangi dua lagi gelaran liga dan tigka Piala Turki dalam tempoh empat tahun.

Dia menamatkan kariernya bersama Al Gharafa dalam liga tertinggi Qatar. – AFP

 

 

Berita Harian X