Isnin, 12 Ogos 2019 | 9:51am
Paul Pogba. - Foto Reuters

Solskjaer puji aksi Pogba

MANCHESTER: Selepas mengumumkan akan meninggalkan kelab ketika akhir musim tetapi akhirnya kekal di Old Trafford, perhatian tertumpu kepada Paul Pogba ketika Manchester United memulakan kempen Liga Perdana Inggeris malam tadi.

Susulan kemenangan 4-0 ke atas Chelsea, di mana perancang Perancis itu mengumpan bola untuk gol ketiga dan keempat, pengendali United Ole Gunnar Solskjaer memuji aksi bekas bintang Juventus itu.

Pogba menunjukkan kualitinya dengan lorongan kepada Marcus Rashford untuk gol ketiga dan kemudian menerajui serangan balas untuk membuat umpanan kepada Dan James bagi gol keempat. 

“Dia pemain hebat dan cukup profesional serta cintakan bola sepak, dia lebih berkembang di sini (Old Trafford), dia pemenang Piala Dunia,” kata Solskjaer.

“Dia sudah matang dalam kariernya dan tidak perlu merasa kecewa. Ada ketika dia merasainya tetapi itu tidak mengapa. Teruskan bermain bola.

“Paul boleh bermain di banyak posisi. Dia boleh menyerang dan hari ini dia menjadi penggerak. Apabila anda mempunyai (Victor) Lindelof, (Harry) Maguire dan David (de Gea) di belakang, mereka boleh menghantar bola kepada Paul, jadi dia akan berada di posisi yang baik.

“Paul boleh melakukan pemain tengah dengan lengkap. Hari ini, dia diarahkan untuk lebih bertahan dan di babak pertama saya saya rasa Chelsea lebih banyak memberi tekanan, jadi dia terpaksa bekerja keras.

“Tetapi kami cergas dan dia cergas, ia hantaran yang hebat untuk gol ketiga dan dia melakukan larian untuk gol keempat.”

Walaupun gembira dengan persembahan pemain-pemain baharu Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Dan James, Solskjaer mengakui pasukannya masih jauh daripada tahap yang diharapkannya. – REUTERS

3182 dibaca
Berita Harian X