Ahad, 11 Ogos 2019 | 7:05pm
Skuad bawah 18 tahun (B-18). - Foto FAM

Skuad B-18 benam Kemboja

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 18 tahun (B-18) negara terus mengekalkan kedudukan di landasan terbaik untuk merebut slot separuh akhir Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B-18 apabila menewaskan Kemboja 3-0 di Stadium Thanh Long, sebentar tadi.

Walaupun pengendali negara, Brad Maloney merehatkan beberapa pemain utama seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Firdaus Khaironisam, 'ubi muda' masih mampu menjelmakan permainan menarik.

Kemenangan itu menjadikan Malaysia selaku antara pasukan pilihan melepasi peringkat Kumpulan B bersama tuan rumah dan Australia.

Apa pun, kemenangan itu cukup penting untuk meningkatkan motivasi pemain ketika mereka bakal berdepan ujian sebenar menentang Australia, Selasa ini.

Terdahulu, Malaysia mendahului permainan seawal minit ke-18 menerusi ketua pasukan, Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi sebelum Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid mengukuhkan kedudukan menerusi jaringan minit ke-38.

Skuad negara makin sukar dikekang dan kali ini giliran Muhammad Firdaus Ramli mencipta nama selaku penjaring selepas sepakan percumanya pada masa kecederaan babak pertama gagal dihalang penjaga gol lawan, Vireak Dara.

Bersambung babak kedua, Kemboja menampilkan aksi lebih baik tetapi anak buah Maloney membuktikan yang mereka memiliki kualiti lebih baik untuk mengekang serangan pasukan lawan.

Skuad negara sepatutnya mampu menambah jaringan namun beberapa peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik sekali gus aksi berakhir dengan 3-0.

Berita Harian X