Ahad, 11 Ogos 2019 | 12:31pm
PEMAIN Barcelona, Luis Suarez (kanan) cuba melepasi pertahanan pemain Napoli, Vlad Chiriches pada aksi persahabatan di Washington, pagi tadi. - Foto AFP

Barcelona kekal berbisa tanpa Messi

WASHINGTON: Luis Suarez menyumbat dua gol manakala Antoine Griezmann meledak gol pertamanya bersama Barcelona sebelum Ousmane Dembele memastikan Barca menang 4-0 mengatasi Napoli 4-0 dalam aksi persahabatan di sini, pagi tadi.

Enam hari sebelum Barcelona memulakan saingan La Liga menentang Atletico Bilbao serta khabar angin mengatakan Neymar kembali ke Camp Nou, gergasi Sepanyol itu kian tajam selepas membenam lawan sama 2-1 di Miami, Rabu lalu.

Begitupun Messi tidak ikut serta ke jelajah di Amerika Syarikat itu susulan kecederaan betis, namun Barcelona terbukti berbisa biarpun tanpa bintang Argentina itu. 

Kira-kira 60,043 penonton yang hadir di Stadium Michigan yang berkapasiti 110,000 itu terhibur dengan gara hantaran Barcelona, yang menyumbat empat gol dalam tempoh 15 minit babak kedua bagi memastikan Napoli gigit jari.

Suarez meletakkan Barca di depan pada minit ke-48 apabila bintang Uruguay itu menyambar bola muntah hasil cubaan Griezmann, Napoli membantah gol itu kerana didakwa ofsaid.


PEMAIN Barcelona, Luis Suarez meraikan jaringannya bersama Antoine Griezmann dalam perlawanan menentang Napoli pada aksi persahabatan di Washington, pagi tadi. - Foto AFP

Griezmann menambah gol kedua pada minit ke-56 selepas menerima umpanan Jordi Alba dengan melarikan bola ke dalam petak penalti sebelum menolak masuk menggunakan kaki kirinya.

Belum sempat Napoli bangkit, Suarez sekali lagi menemui sasaran dengan jaringan cantik minit ke-58 tepat ke bucu kanan gawang lawan.

Penyerang Perancis, Ousmane Dembele memastikan gol keempat pada minit ke-63.

Dalam pada itu, di Perancis, Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo berkata Neymar tidak menyertai latihan menjelang perlawanan pertama Ligue 1 sekali gus khabar angin mengenai perpindahannya 'lebih kencang berbanding sebelumnya'.

Media Sepanyol turut melaporkan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane giat mengatur usaha mendapatkan tanda tangan Neymar tatkala bintang Brazil itu turut dikaitkan bakal kembali semula ke pangkuan Barca. – AFP

Berita Harian X