Sabtu, 10 Ogos 2019 | 8:33pm
Jurulatih skuad B-18, Brad Maloney (kiri) tekad benam Kemboja, esok. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Misi wajib menang lawan Kemboja

KUALA LUMPUR: Perlawanan ketiga Kumpulan B menentang Kemboja di Stadium Thanh Long, esok akan menjanjikan tugas getir buat skuad Bawah 18 Tahun (B-18) negara yang kini cuba mempertahankan trofi kejuaraan Kejuaraan B-18.

Skuad muda negara itu tidak boleh lagi tercicir mata bagi melancarkan misi melepasi peringkat kumpulan namun perlu bekerja lebih keras kerana lawan mereka sudah membuktikan kemampuan mereka termasuk menewaskan Thailand 4-3.

Pengendali negara, Brad Maloney berkata kemenangan 3-1 ke atas Singapura, semalam jelas penting untuk mengembalikan keyakinan pemain selepas tewas 1-0 kepada tuan rumah pada aksi pembukaan.

"Apa yang saya lihat, Kemboja adalah sebuah pasukan yang cukup bagus dan memiliki pemain berkualiti.

"Sudah pasti dengan semua itu, perlawanan akan jadi lebih sengit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada aksi menentang Singapura, Firdaus Kaironisam muncul wira apabila meledak dua gol dan Luqman Hakim Shamsudin meledak gol ketiga.

Kini magis Maloney cukup ditagih ketika bakal menentang Australia dan Thailand dalam baki dua perlawanan terakhir.

"Segala-galanya bagus. Prestasi semalam agak memberangsangkan dan meningkatkan keyakinan pasukan.”

Berita Harian X