Jumaat, 9 Ogos 2019 | 10:54pm
PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard. - Foto Reuters

Lampard tak gusar baris pemain muda

LONDON: Pengendali Chelsea, Frank Lampard mengakui tidak bimbang untuk memberikan peluang terhadap pemain mudanya mencetus impak di Stamford Bridge pada musim ini.

Penjaring terbanyak Chelsea itu memulakan karier pengurusannya di gelanggang lawan bertemu Manchester United, Ahad ini dan bukan kejutan jika pasukannya diisi pemain muda seperti Tammy Abraham, Fikayo Tomori dan Mason Mount.

Ketika penggantungan pembelian pemain dan penghijrahan Eden Hazard ke Real Madrid bermakna tugas Lampard semakin sukar, bekas pemain tengah England itu melihatnya sebagai peluang buat kelab membariskan pemain muda.

Pemain tengah, Mount, 20, penyerang Abraham, 21, dan pertahanan Tomori, juga 21, semuanya dipinjamkan ke kelab Liga Kejuaraan, Derby County musim lalu, lokasi di mana Lampard mengasah bakatnya di arena pengurusan dan hampir membawa pasukan itu ke Liga Perdana.

“Pengalaman bekerjasama dengan mereka pada tahun lalu hebat kerana mereka dahagakan kejayaan, mereka mahu belajar, mereka memberi soalan ketika latihan dan saya menggemarinya,” kata Lampard.

“Saya faham posisi kami di mana kami mengharungi penggantungan. Ia memberi kami kemungkinan yang berbeza, sekali pun ia jalan yang sukar, ia juga satu peluang buat pemain muda membuktikan mereka cukup baik untuk berada dalam pasukan utama.

“Saya mahu menjadi kompetitif dan mahu kami menang, jadi ia bukannya mengenai berapa ramai pemain muda yang saya bawa ke dalam pasukan. Tetapi jika mereka membuktikan diri mereka ketika latihan, saya tidak gusar untuk menyenaraikan mereka.”

Ketika jangkaan terhadap Chelsea jelas rendah pada musim ini, Lampard begitupun sasarannya tetap untuk mencabar kejuaraan sekali pun mengakui menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik sebagai kejayaan. - Reuters

Berita Harian X