Jumaat, 9 Ogos 2019 | 8:09pm
Gambar fail, penyerang Manchester United, Romelu Lukaku merembat ke arah gawang Bournemounth pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Ol Trafford, Disember tahun lalu. - Foto EPA

Lukaku label Conte 'terbaik dunia'

ROME: Romelu Lukaku berkata prospek dibimbing Antonio Conte mendorongnya untuk menyertai Inter Milan dan dia melabel pengendali dari Itali itu jurulatih terbaik dunia sejurus tiba dari Manchester United.

Ketika ditanya bagaimana kehadiran bekas jurulatih itu di Inter pada musim panas ini mempengaruhi keputusannya untuk menyertai Serie A, Lukaku membalas: “Amat banyak... dia pengurus terbaik di dunia.

“Dia adalah seseorang yang mampu menjadikan pemain semakin baik dari masa ke semasa. Kamu boleh melihat rekodnya,” kata pemain kelahiran Belgium itu.

Conte diketahui sudah lama meminati Lukaku dan pernah cuba memancing pemain tinggi lampai ketika mengemudi Juventus dan Chelsea sebelum ini.

Tetapi pemain berusia 26 tahun memilih untuk menyertai United pada 2017 sebelum membuat keputusan berpindah pada musim panas ini selepas hubungannya dengan pengurus Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer dilaporkan makin renggang.

Lukaku yang akan menggunakan jersi nombor sembilan milik bekas kapten Inter, Mauro Icardi dijangka akan mengemudi jentera serangan pasukan itu dengan sasaran untuk menamatkan penguasaan Juventus.

“Saya fikir Inter adalah kelab yang memiliki banyak potensi. Saya fikir bagi saya ia sesuatu yang saya perlukan,” kata Lukaku. “Saya memerlukan persaingan di mana saya boleh membantu pasukan untuk membina masa depan.

“Bagi saya, segala-gala yang ada di sini adalah untuk membantu saya dan saya berharap untuk membantu rakan sepasukan dengan kerja keras serta dedikasi terhadap permainan.”

Selain Lukaku, Inter juga mendapatkan pertahanan veteran Uruguay, Diego Godin dan pemain tengah berpotensi Nicolo Barella selain dikatakan hampir memperoleh khidmat penyerang Bosnia, Edin Dzeko.

Turut menjadi sasaran kelab itu termasuklah pemain tengah Barcelona, Ivan Rakitic dan bintang Lazio, Sergej Milinkovic-Savic dan dikatakan sedang berusaha menjual Icardi. - AFP

Berita Harian X