Jumaat, 9 Ogos 2019 | 10:06am
JURGEN Klopp

Klopp tuntut anak buah buktikan kemampuan Liverpool

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meminta anak buahnya membuktikan The Reds bertindak tepat apabila mengekalkan pemainya pada musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bermula esok.

Juara Eropah itu hanya mendapatkan tiga muka baru iaitu pemain muda Belanda, Sepp van den Berg, Harvey Elliott dan penjaga gol gantian, Adrian.

Klopp, yang akan memulakan musim baru dengan menentang Norwich City pagi nanti, (jam 3 pagi waktu Malaysia) amat berharap Liverpool dapat membuktikan betapa mereka di landasan betul dengan mengekalkan pemain sedia ada untuk berdepan cabaran EPL musim ini.

"Pasukan besar lazimnya mengekalkan pemainnya dalam tempoh yang lama,” kata Klopp kepada media United Kingdom, semalam.

"Saya rasa memang patut kekalkan pemain ini, tapi kami perlu buktikannya. Jika kita beli pemain baru, orang akan bertanya, selepas kamu beraksi begini musim lalu, kamu lepaskan beberapa pemain?”

Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu namun ketinggalan satu mata di belakang Manchester City (98 mata) dalam perebutan gelaran EPL. 

Klopp juga yakin pasukan gergasi EPL wajar mengelak daripada merombak pasukan secara drastik setiap musim, sambil merujuk beberapa kelab besar yang melakukannya dahulu.

"Pasukan besar yang lalu, saya tak anggap Liverpool pasukan besar ketika ini, perlu menunggu beberapa tahun dan mereka tidak perlu lakukan perubahan,” katanya.

"Saya tidak membandingkan pasukan kami dengan Barcelona sama ada lima, enam atau tujuh tahun lalu, tapi pemain mereka kekal lama di sana. Pemain baru datang kemudian bergelut, pemain yang sama kini muncul beraksi semula.

"Man United memiliki kelompok pemain Kelas ‘92. Berapa lama mereka kekal bersama? Mereka hanya menukar beberapa pemain selepas (Eric) Cantona semakin tua dan membawa masuk Van the Man (Ruud van Nistelrooy). Kamu tak perlu tukar kesemuanya.

"Kami pasukan yang bagus dapat kekal bersama dalam berdepan liga paling sukar dengan banyak pertandingan dan bekerja keras memastikan kami tidak tercicir.

"Tiada siapa tahu apa yang akan terjadi tetapi keputusan Ahad (kalah di tangan Manchester City dalam Perisai Komuniti) membuktikan kami mampu dan selebihnya bergantung kepada apa yang kami usahakan nanti.” kata Klopp. – Agensi 

Berita Harian X