Rabu, 7 Ogos 2019 | 10:22pm
PENGARAH Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin. NSTP/Hafiz Sohaimi

Tukar formasi 4-4-2 ke 4-3-3

OKAYAMA, JEPUN: DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka turut mengubah ‘wajah’ Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang menyaksikan program terbabit bakal berdepan perubahan drastik supaya selari dengan perancangan badan induk itu.

Ini berikutan berlakunya transisi daripada formasi asas 4-4-2 yang digunakan NFDP selama ini kepada formasi teras dalam DNA Bola Sepak Malaysia yang menggunakan formasti 4-3-3 seperti yang diamalkan skuad senior di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin mengesahkan perbincangan lanjut akan diadakan bersama tiga pihak terbabit iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MSN dan FAM bagi mencari jalan untuk menambahbaik program pembangunan itu agar terus kekal relevan pada masa akan datang.

“Satu bengkel akan diadakan bulan ini untuk kita melihat semula semua sasaran yang diletakkan sebelum ini termasuklah menetapkan visi 10 tahun ke hadapan agar selari dengan Peta Hala Tuju F:30.

“Dalam bengkel itu juga, kita akan cuba menyelaraskan sekali pendekatan yang ada supaya dapat bergerak seiring dengan DNA Bola Sepak yang dilancarkan di sini,” katanya ketika ditemui pada Projek Impian ASEAN (ADP) 2019 di Okayama, hari ini.

Sebagai rekod, ADP yang mendapat kerjasama Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Cerezo Osaka dan TV Osaka memasuki penganjuran tahun kedua dan 15 pemain muda berbakat daripada tiga negara iaitu Malaysia, Thailand serta Myanmar diterbangkan ke Osaka untuk menyertai latihan dan aksi persahabatan bersama skuad remaja Cerezo Osaka.

Dalam perkembangan sama, Jefri yang kini dipertanggungjawabkan untuk mengetuai program itu selepas penstrukturan NFDP tahun lalu mengakui hala tuju program itu untuk layak ke Piala Dunia Remaja tetap berada pada landasan yang tepat terutamanya selepas beberapa proses pembaharuan dilakukan sejak ia bermula pada 2009.

“Program yang dimulakan pada 2009 sudah ditambahbaik pada 2013 dengan pelantikan Lim Teong Kim selaku Pengarah Teknikal dan pengenalan DNA bola sepak NFDP.

“Kita melihat NFDP masih lagi dalam landasan yang terbaik meskipun gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia B-17. Kita perlu fokus kepada matlamat jangka panjang program ini iaitu untuk melahirkan pelapis terbaik negara yang bakal mengembalikan kegemilangan bola sepak tanah air dapat dicapai,” katanya.

Berita Harian X