Selasa, 6 Ogos 2019 | 11:57am
MAURICIO Pochettino

Cabaran sama Pochettino di Tottenham

LONDON: Tottenham Hotspur menamatkan musim lalu di belakang juara, Manchester City dan Liverpool masing-masing dengan 27 dan 26 mata dan tidak ramai percaya kelab London itu boleh melakukan perkara serius mengurangkan defisit itu ketika kempen baharu akan bermula.

Menamatkan saingan di tangga keempat  dan mara ke final pertama Liga Juara-Juara tanpa berbelanja berturut-turut dalam jendela perpindahan serta bermain ‘di laman sendiri’ di Wembley sehingga April kerana kelewatan menyiapkan stadium menjadi pencapaian membanggakan buat Spurs.

Mereka akan memulakan saingan minggu ini di stadium baharu dengan kapasiti 62,000 tempat duduk dan membayar 65 juta pound (RM331 juta) untuk pemain tengah Perancis, Tanguy Ndombele dengan Mauricio Pochettino masih menjalankan projeknya.

Pochettino melakukan perkara menakjubkan untuk memastikan empat tempat teratas dalam empat musim berturut-turut, meningkatkan saham dirinya namun pengendali dari Argentina itu masih belum meraih sebarang kejuaraan.

Menjelang hujung musim lalu, dia meragui masa depannya sambil berkata adalah sesuatu yang “naif” untuk mengatakan Tottenham boleh terus melakukan yang bagus di bawah kemampuan mereka dan “pelan baharu” diperlukan untuk bersaing dengan City serta Liverpool.

Minggu lalu dia berkata tidak boleh campur tangan dalam polisi perpindahan kelab dan jawatannya sepatutnya ditukar daripada pengurus kepada jurulatih.

Pada saingan pemanas badan terakhir Ahad lalu berdepan Inter Milan, hanya Ndombele menjadi pemain utama ditandatangani Tottenham selepas pemain sayap Jack Clarke yang tiba dari Leeds United dengan harga 8.5 juta pound (RM43 juta) dipinjamkan kembali ke kelab Yorkshire itu.

Walaupun dengan kehadiran Ndombele dari Olympique Lyonnais ke Spurs, skuad itu masih kurang sepadan berbanding pencabar mereka apatah lagi berita bahawa pemain tengah England, Dele Alli akan terlepas saingan awal kempen kerana kecederaan hamstring.

Perkara positif ialah kesebelasan utama Tottenham berdepan Aston Villa awal pagi Ahad ini tampak sudah bersedia, selain Ndombele, mereka sudah mengenali cara permainan masing-masing. - Reuters

Berita Harian X