Ahad, 4 Ogos 2019 | 2:45pm
engurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. - Foto REUTERS

Solskjaer yakin Pogba kekal

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer yakin pemain tengah, Paul Pogba akan terus memberikan komitmennya kepada pasukan itu.

Pemain antarabangsa Perancis itu 'hilang' daripada skuad United ketika pasukan itu mengatasi AC Milan menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi pra musim di Cardiff, malam tadi.

Bagaimanapun, Solskjaer menegaskan ketiadaan bintang The Red Devils itu adalah disebabkan dia mengalami sakit belakang.

Ditanya sama ada Pogba akan terus kekal bersama United, Solskjaer berkata: "Saya tidak pernah meraguinya.

"Saya memang tidak berharap dia akan menyertai kami untuk ke Cardiff. Saya bercakap dengannya selepas menjalani latihan dan dia berasa tidak selesa.

"Paul akan kembali menjalani latihan minggu depan. Ia bukan kecederaan cuma dia berasa sedikit kesakitan. 

"Kami tidak mahu mengambil sebarang risiko minggu ini dan dia dijangka cergas untuk pertemuan dengan Chelsea minggu depan," kata Solskjaer.

Masa depan Pogba mula mencetuskan persoalan pada Jun lalu selepas dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia mencari cabaran baharu dalam kerjayanya.

Sementara itu, Solskjaer mengesahkan urusan perpindahan membabitkan pemain pertahanan England, Harry Maguire yang bernilai 80 juta pound (RM404 juta) daripada Leicester City hampir selesai.

"Diharapkan butiran terakhir ini akan selesai, jadi kami dapat mengumumkan sesuatu dengan segera," kata Solskjaer. - AFP

987 dibaca
Berita Harian X