Selasa, 30 Julai 2019 | 12:33pm
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. - Foto Reuters

Klopp tenang layan City tanpa tonggak

EDINBURGH, Scotland: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menyatakan bahawa pertembungan Perisai Komuniti menentang Manchester City, di Wembley Ahad ini tidak menjejaskan fokus kelab itu untuk memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Liverpool dan Manchester City akan berentap sekali lagi sekali gus memulakan perseteruan antara mereka yang menyaksikan City meraih gelaran EPL penuh sengit musim lalu.

Namun Klopp menebus kehampaan itu beberapa minggu kemudian apabila menewaskan Tottenham Hotspur pada final Liga Juara-Juara, di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid.

Musim ini, Liverpool sekali lagi dijangka akan bersaing rapat dengan City untuk perebutan kejuaraan utama dan kemenangan ke atas anak buah Pep Guardiola akan memberi suntikan semangat kepada Liverpool.

Bagaimanapun, ketiadaan ramai pemain utama antaranya Mohamed Salah, Sadio Mane, Roberto Firmino dan penjaga gol, Alisson atas komitmen di Piala Negara Afrika dan Copa America, sedikit sebanyak menjejaskan kempen pra musim Klopp.

“Bagi saya, ia tidak mempengaruhi keseluruhan musim,” kata Klopp.

“Ia sekadar perlawanan dan saya hanya ada lapan pemain senior untuk disenaraikan dan kami akan cuba untuk memenanginya.

“Jika kami menang, ia bagus. Tapi adakah ia akan mempengaruhi musim ini? Saya rasa tidak.,” katanya. – AFP

1267 dibaca
Berita Harian X