Selasa, 30 Julai 2019 | 8:57am
Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk. - Foto Reuters

Tiada harapan kalau macam ini - Van Dijk

LONDON: Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk memberi amaran betapa Reds memerlukan peningkatan besar-besaran sebelum berdepan Manchester City bagi aksi Piala Perisai Komuniti, Ahad ini.

Liverpool mengharungi kempen pra-musim yang mengecewakan apabila dimalukan dengan kekalahan 0-3 kepada kelab Serie A, Napoli, semalam di Murrayfield.

Ia meninggalkan skuad kendalian Jurgen Klopp tanpa sebarang kemenangan dalam empat perlawanan persahabatan terakhir termasuk tiga kekalahan selain sudah melepaskan 11 gol.

Klopp mengakui ia pra-musim yang pelik tetapi dengan kehadiran lima pemain utama, Mohamed Salah, Naby Keita, Roberto Firmino, Alisson Becker dan Xherdan Shaqiri ke dalam skuad bagi mengharungi perlawanan pra-musim terakhir minggu ini, ia jelas meningkatkan semangat pasukan.

Sekali pun mengakui persiapan Liverpool bagi mengharungi musim baharu tidak berjalan seperti diharapkan, tetapi Van Dijk percaya perlawanan menentang penyandang juara liga, City adalah sesuatu yang diperlukan pasukannya.

“Kami perlu berada di tahap terbaik kami,” kata Van Dijk. “Jika kami bermain seperti itu, kami tidak akan memenangi Piala Perisai Komuniti, ia semudah itu. 

“Tetapi kami masih mempunyai tempoh seminggu untuk menyiapkan diri kami selain mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan dan ia bagus buat pemain-pemain yang baru tiba. Kami pasti akan bersedia untuk melawan City.”

Menjelang perlawanan menentang Lyon, Khamis ini, pemain-pemain Liverpool dipaksa bekerja keras apabila dijadual mengharungi sesi berganda setiap hari.

Selepas mengharungi tempoh perpindahan yang sibuk musim lalu, ramai peminat mempersoalkan aktiviti kelab pada jendela perpindahan musim ini dengan Liverpool hanya membawa masuk dua pemain baharu,  Sepp van den Berg dan Harvey Elliott.

Tetapi Van Dijk yang juga kapten kebangsaan Belanda tidak begitu bimbang dan percaya kelab itu mempunyai kemampuan untuk bersaing. - Agensi

Berita Harian X