Rabu, 24 Julai 2019 | 10:10am
Gambar fail, pemain Hoffenheim, Joelinton. - Foto REUTERS

Newcastle pecah rekod dapatkan Joelinton

BERLIN: Newcastle United menandatangani penyerang Brazil, Joelinton dari Hoffenheim, umum pasukan Liga Perdana itu sekali gus memecahkan rekod perpindahan termahal dalam sejarah kelab berkenaan.

Pemain berusia 22 tahun itu akan menggunakan jersi bernombor sembilan, yang pernah dipakai legenda Alan Shearer selepas bersetuju dengan perjanjian enam tahun yang dilaporkan berjumlah 45 juta euro (RM206.62 juta).

Joelinton Cassio Apolinario de Lira memulakan kariernya bersama kelab Brazil, Sport Recife, sebelum menyertai Hoffenheim yang bersaing dalam kancah Bundesliga. 

Dia turut pernah beraksi bersama kelab Austria, Rapid Vienna selama dua musim secara pinjaman sebelum pulang ke Hoffenheim dan meledak tujuh gol dalam 26 perlawanan Bundesliga selain tiga gol di Piala Jerman musim lalu.

“Saya amat gembira berada di sini,” kata Joelinton dalam kenyataan yang dikeluarkan Newcastle. “Saya sedar pelaburan besar yang dilakukan kelab untuk saya, dan ia datang dengan tanggungjawab yang besar. Saya amat bermotivasi dan berharap untuk membuktikannya di atas padang.”

Pengurus baharu Newcastle, Steve Bruce berkata kelab itu gembira dengan kehadiran ‘pemain muda sensasi’ berkenaan.

“Dia memiliki segala-gala yang pemain di era moden mahukan. Dia besar, kuat dan bertenaga dan sudah tentu dia berada di usia yang amat penting. Dia mengetahui mengenai sejarah dan mahukannya (jersi nombor sembilan) dan ia sentiasa datang dengan tanggungjawab yang besar.” - AFP

Berita Harian X