Selasa, 23 Julai 2019 | 10:37pm
PEMAIN Chelsea, Tammy Abraham (kanan) diasak penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen pada aksi persahabatan di Saitama, sebentar tadi. - Foto AFP

Chelsea atasi Barcelona

SAITAMA, Jepun: Jaringan daripada setiap babak oleh Tammy Abraham dan Ross Barkley membolehkan Chelsea meraih kemenangan 2-1 ke atas Barcelona di Saitama, sebentar tadi.

Dengan gergasi Catalan itu menjalani latihan pramusim lewat dua minggu berbanding The Blues, anak buah Frank Lampard menunjukkan persembahan bertenaga dan tidak memberikan banyak ruang kepada Barcelona pada aksi persahabatan terbabit.

Barcelona menurunkan pemain bernilai 107 juta pound (RM547 juta), Antoine Griezmann yang dilihat berjaya membentuk kombinasi baik bersama Ousmane Dembele dengan gandingan terbabit banyak mengancam kubu Chelsea di awal permainan.


PEMAIN Chelsea, Ross Barkley (kiri) diasak pemain Barcelona, Frenkie de Jong pada aksi persahabatan di Saitama, sebentar tadi. - Foto AFP

Bagaimanapun, hantaran kurang kemas Sergio Busquets dimanfaatkan Abraham yang mudah menggelecek Marc-Andre Ter Stegen untuk gol pembukaan Chelsea.

Kedua dua pasukan melakukan pertukaran pada separuh masa dan Barcelona tampak lebih banyak menyerang pada babak kedua bagi memburu gol penyamaan.

Namun, Chelsea meningkatkan lagi tempo permainan dan pemain gantian, Barkley memberikan impak selepas meledak gol kedua buat Chelsea menerusi percubaan melencong dari jarak 18 meter.

Ivan Rakitic memberikan gol saguhati selepas melakukan percubaan menarik buat Barcelona yang tampak belum lagi bersedia sepenuhnya secara fizikal untuk mengharungi aksi pramusim.Keputusan 2-1 itu sudah cukup buat Chelsea meraih kemenangan kedua mereka bagi aksi pramusim setakat ini. - Agensi


PEMAIN Chelsea, Ross Barkley meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Barcelona pada aksi persahabatan di Saitama, sebentar tadi. - Foto AFP

1999 dibaca
Berita Harian X