Isnin, 22 Julai 2019 | 9:35am
Pemain Manchester United, Juan Mata (tengah) bersama rakan sepasukan bercakap sesuatu kepada jurulatih pada sesi latihan menjelang Liga Juara-Juara menentang Internazionale di Stadium National Singapura. - Foto EPA

Man United perlu tingkatkan prestasi - Mata

SINGAPURA: Juan Mata menyasarkan peningkatan di Manchester United musim ini selepas prestasi yang ditampilkan pada musim lalu ‘tidak cukup bagus.’

Skuad dengan julukan Red Devils itu menamatkan saingan Liga Perdana di tangga keenam, sekali gus terlepas kempen Liga Juara-Juara dan tersingkir di saingan elit Eropah itu di suku akhir apabila tewas 0-4 secara agregat kepada Barcelona, musim lalu.

United yang dikendalikan Ole Gunnar Solskjaer juga gagal menjulang sebarang kejuaraan di peringkat domestik apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan enam Piala FA selain tersingkir seawal pusingan ketiga Piala Liga selepas tewas kepada Derby County.

Mata yang menandatangani kontrak baharu pada Jun lalu yang mengekalkannya di Old Trafford sehingga 2021 mengakui apa yang ditampilkan pada musim lalu tidak menyamai standard tinggi yang diletakkan kelab itu.

“Kami tahu yang musim lalu tidak cukup baik,” kata Mata. “Jadi kami perlu meningkat, kami akan cuba melakukan yang terbaik pada musim baharu yang akan tiba. 

“Apa yang perlu kami lakukan adalah meningkatkan tahap kami dan bersaing dan kemudian lihat di mana kami akan menamatkannya. Kamu tahu, tahap di Liga Perdana menjadi semakin baik setiap tahun. Semua kelab membawa masuk pemain yang amat bagus, jadi kami perlu memberikan yang terbaik.”

United merasai nikmat kemenangan pada perlawanan pembukaan pra-musim selepas menewaskan Inter Milan 1-0, Sabtu lalu dan dijadual bertemu finalis Liga Juara-Juara musim lalu, Tottenham pada Khamis ini. - Agensi

Berita Harian X