Ahad, 21 Julai 2019 | 2:47pm
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer (kiri) bersalaman dengan pemain Inter Milan, Danilo D’Ambrosio sejurus tamat perlawanan pra-musim di Stadium Kebangsaan Singapura, semalam. - Foto REUTERS

Prestasi United bagus tanpa Lukaku - Solskjaer

SINGAPURA: Ole Gunnar Solskjaer mengakui teruja melihat prestasi Manchester United yang beraksi tanpa kelibat penyerang Romelu Lukaku.

Pemain antarabangsa Belgium itu terus disisihkan bagi aksi pra-musim dengan pengurus United, Solskjaer menyatakan masalah kecergasan menjadi punca ketiadaannya bersama pasukan.

Lukaku terlepas perlawanan yang menyaksikan United menang 1-0 ke atas Inter Milan dalam kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa di sini, semalam ketika laporan menyatakan bidaan kelab Serie A itu £54 juta (RM277.47 juta) bagi mendapatkan khidmatnya ditolak.

Ketua Pegawai Inter, Giuseppe Marotta pada awal minggu ini berkata dia 'optimis' kelab Itali itu akan berjaya mendapatkan khidmat pemain berusia 26 tahun itu.

Tanpa kelibat Lukaku, pemain berusia 17 tahun Mason Greenwood meledak gol tunggal permainan menewaskan skuad kendalian Antonio Conte dan Solskjaer mengakui berpuas hati dengan persiapan skuad kendaliannya.

"Saya fikir kami bermain dengan baik tanpa Romelu, tetapi kami semua tahu dia salah seorang penyerang terbaik di dunia," katanya.

"Kami bermain dengan cara yang berbeza, mungkin dengan Anthony [Martial], Marcus [Rashford] dan Mason.

"Sebagai jurulatih kamu perlu mengadaptasi dengan pemain-pekain yang ada. Kami akan membuat persiapan melawan Tottenham [Khamis) dan lihat siapa yang boleh bermain pada perlawanan itu."

Solskjaer juga tidak dapat menjawab persoalan mengenai tahap kecergasan Lukaku dan sedar mengenai ketidakpuasan hati penyerang itu.

"Jika kamu pemain dan tidak boleh berlatih selama seminggu, dan ketika ini dia sudah terlepas tiga perlawanan berturut-turut, saya fikir dia faham.

"Dia bekerja keras untuk kembali ke bermain dan kita lihat berapa lama ia diperlukan." - Agensi

Berita Harian X