Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:34pm
Pemain TFC II, Mohammad Haidhir Suhaini (tengah) rai gol ledakannya ketika menentang Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - NSTP/Imran Makhzan

Status juara Liga Perdana tercalar

 

KUALA TERENGGANU: Status juara Liga Perdana musim ini Sabah, tercalar pada aksi terakhir liga selepas tumpas 1-2 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu skuad TFC II berjaya memperbaiki kedudukan apabila berada di tangga kelima liga manakala kedudukan Sabah tidak berubah di persada liga.

Terdahulu skuad TFC II kendalian Tengku Hazman Raja Hassan yang berhajat menutup tirai liga musim ini dengan kemenangan bermula garang dengan peluang terbaik pada minit ke-14 menerusi Bruno Suzuki yang hanya berdepan dengan penjaga gol, Robson Rendy Rining, namun dinafikan.

Selepas percubaan itu, skuad The Turtles terus mendominasi permainan dan sekali lagi berpeluang meledak gol menerusi Zuasyraf Zulkiefle dan Ahmad Takhiyuddin Roslan, tapi rembatan pemain itu sedikit tersasar.

Skuad Tambadau yang dilihat tertekan cuba mengimbangi permainan dengan percubaan leret Ahmet Atayev yang ditolak keluar pertahanan TFC II.

Jaringan yang dinantikan tuan rumah akhirnya tiba pada minit ke-45 apabila Haidhir Suhaini bijak meloloskan diri di dalam kotak penalti sebelum merembat kencang untuk kedudukan 1-0.

Skuad TFC II kian bernafsu apabila berjaya menghasilkan gol kedua pada minit ke-54 menerusi sepakan deras pemain sayap, Ridzuan Razali dari sebelah kanan pintu gol pelawat.

Ketinggalan dua gol, skuad kendalian Jelius Ating menggandakan asakan, hasilnya pada minit ke-63 pemain kelahiran Angola, Aguinaldo Veiga  berjaya merapatkan kedudukan menjadikan 1-2 apabila sepakan lemahnya gagal ditolak keluar penjaga gol, Mohd Shamirza Yusof.

3944 dibaca
Berita Harian X