Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:31pm
Pemain Pulau Pinang meraikan kejayaan layak ke Liga Super musim depan - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Pulau Pinang ke Liga Super 2020

 

MELAKA: Pulau Pinang mara ke Liga Super 2020 selepas menewaskan PDRM 2-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Keputusan itu sudah cukup buat Harimau Kumbang mara mengiringi Sabah, walaupun peluang awal lebih memihak PDRM, UiTM dan Negeri Sembilan di carta Liga Perdana.

Pelawat menjaringkan gol pertama seawal minit ke-10 menerusi tandukan bekas import Melaka United (MU) Anselmo Casagrande yang menewaskan penjaga gol Shahril Sa'ari.

Bagaimanapun tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi rembatan leret Patrick Ronaldinho pada minit ke-30 selepas mengutip hantaran R Gopinathan.

The Cops terpaksa melalui saingan memeritkan dengan beraksi 10 pemain pada minit ke-40 selepas import kelahiran Nigeria, Uche Agba dilayangkan kad merah akibat mengasari pemain pelawat.

Situasi terbabit memberi tekanan kepada anak buah jurulatih E Elavarasan yang terpaksa bekerja lebih agresif berikutan terpaksa menampung ketiadaan Agba.

Kekurangan pemain memberi kesempatan buat Gasagrande melakukan percubaan pada minit ke-45 perlawanan namun tersasar.

The Cops yang hanya perlukan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke liga Super musim depan terus menahan asakan hebat pelawat pada babak kedua.

Hasilnya Mohamad Al Hafiz Harun merembat cantik gol kedua buat pelawat pada minit ke-51 sekali gus mengukuhkan cengkaman.

Tuan rumah terus dihambat duka selepas dua lagi pemainnya dilayangkan kad merah pada masa tambahan memaksa paskan itu beraksi dengan lapan pemain.

Keputusan UiTM dan Negeri Sembilan yang terikat 1-1di Shah Alam membolehkan Pulau Pinang memintas kedua-dua pasukan dan PDRM untuk mara ke Liga Super musim depan.

2321 dibaca
Berita Harian X