Sabtu, 20 Julai 2019 | 11:16pm
Penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh (dua dari kana) dikasari pemain Melaka United, Saiful Ridzuwan Selamat (kanan) pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Tok Gajah benam Melaka United

 

KUANTAN: Skuad Pahang menamatkan aksi penutup tirai Liga Super dengan membenam Melaka United 4-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

 

Biarpun sudah mengesahkan status naib juara liga musim ini, skuad kendalian Dollah Salleh meneruskan rentak permainan konsisten selepas cemerlang menewaskan FELDA United FC 3-1, Rabu lalu.  

Pada perlawanan itu, tuan rumah tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol pendahuluan menerusi sentuhan penyerang import, Lazarus Kaimbi yang menewaskan penjaga gol Melaka United, Ahmad Solehin Mamat seawal minit pertama.  

Minit ke-20, pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh menjaringkan gol kedua selepas menerima hantaran daripada Nor Azam Azih.

 

Ketinggalan 0-2, skuad kendalian Zainal Abidin Hassan berusaha menekan kubu tuan rumah tetapi berjaya disekat jentera pertahanan, malah keputusan itu kekal sebaik tamat separuh masa pertama.  

Bersambung babak kedua, Melaka United mula mendapat rentak dan membolosi gawang Pahang menerusi sepakan percuma pemain import, Luka Milunovic pada minit ke-57.  

Pada minit ke-69, Kaimbi  menjaringkan gol ketiga yang juga gol kedua peribadi untuk meletakkan Pahang kembali selesa mendahului lawan 3-1.  

Seminit sebelum tamat babak kedua, Saddil Ramdani menambah derita pelawat apabila menjaringkan gol keempat untuk mengesahkan kemenangan 4-1.

733 dibaca
Berita Harian X