Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:52pm

Pemain Melaka United tak terima gaji hampir 3 bulan

KUALA LUMPUR: Isnin lalu kantung pasukan Liga Super dan Liga Perdana terisi apabila memperoleh bayaran hak penyiaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Bagaimanapun, masih ada yang berduka dan terbaharu pemain Melaka United dikatakan belum menerima apa-apa bayaran gaji sejak Aidifitri lalu.

Menurut sumber, setakat ini pemain dimaklumkan pihak pengurusan sedang mencari dana namun setakat ini belum menerima sebarang bayaran.

"Situasi seperti ini memang membebankan kerana setiap bulan mereka memiliki komitmen dengan bank. Apabila bank menekan pemain, sudah pasti mereka juga mengharapkan pengurusan dapat selesaikan gaji mereka.

"Sebenarnya orang tidak tahu apa yang sedang dihadapi pemain. Malah mereka sebagai pemain profesional tidak mahu memanjangkan hal ini tetapi sampai bila mereka perlu tunggu?

"Kini tunggakan hampir memasuki tiga bulan dan kali terakhir pemain terima gaji adalah pada Ramadan lalu," katanya ketika dihubungi semalam.

BH Sukan sebelum ini melaporkan MFL akhirnya menamatkan penantian pasukan bertanding mengenai agihan hak penyiaran selepas badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu sudah membuat pembayaran bagi fasa pertama.

Bagaimanapun, masalah tunggakan gaji ini seakan virus yang tiada ubat dan sering membelenggu pasukan Liga M.

"Saya puji semangat pemain kerana walaupun tanpa gaji mereka beraksi baik. Sebelum ini pemain dimaklumkan pengurusan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Pemain faham apa yang sedang dihadapi pihak pengurusan. Tetapi tolonglah selesaikan gaji mereka dengan kadar segera memandangkan Piala Malaysia makin hampir," katanya.

Berita Harian X