Jumaat, 19 Julai 2019 | 10:54am
Pemain muda Arsenal, Rob Holding.

Holding bakal kapten Arsenal

CHARLOTTE, Carolina Utara: Pengurus  Arsenal, Unai Emery bercadang memberi peranan kapten kepada pemain mudanya, Rob Holding untuk menggantikan Laurent Koscielny yang kini bebas meninggalkan Emirates.

Koscielny tidak ikut serta ke program jelajah pra musim Arsenal ke Amerika Syarikat tatkala media Perancis mengaitkan pemain berusia 33 tahun itu bakal beraksi ke Ligue 1 sama ada menyertai Girondins Bordeaux atau Olympique Lyonnais.

Emery kini secara terbuka melabelkan Holding sebagai ‘pemain penting’ dan mengizinkan Koscielny meningalkan Emirates.

Holding, 23, kini boleh bersiap sedia dilantik kalangan ‘lima kapten’ dalam skuad kendalian Emery.

"Saya mahu seorang pemain Inggeris kalangan lima kapten ini,” kata Emery dalam sidang media di Los Angeles menjelang perlawanan menentang Fiorentina dalam aksi International Champions Cup (ICC), esok.

"Tahun lalu (Granit) Xhaka, Mesut (Ozil) dan Nacho (Monreal) sudah dilantik kapten. Tapi selepas pemergian Aaron Ramsey dan Petr Cech dan kini mungkin Laurent Koscielny - Saya perlukan seorang lagi pemain.

"Pemain Inggeris yang membesar bersama akademi kami mampu memahami semangat dan nilai sebenar Arsenal. Inilah kualiti yang kami perlukan.

"Kami amat gembira dengan kemajuan dicapainya (Holding). Kami perlukan sumbangannya di bahagian tengah. Dia sudah memperaga aksi terbaiknya.”

Arsenal memiliki dua lagi pemain senior Inggeris iaitu Calum Chambers, yang menghabiskan semusim di Fulham sebagai pemain pinjaman musim lalu dan seorang lagi, pertahanan kanan, Carl Jenkinson. – Reuters

689 dibaca
Berita Harian X