Jumaat, 19 Julai 2019 | 7:50am
Gambar fail, bekas Pengurus Sheffield Wednesday, Steve Bruce. - Foto Reuters

Bruce tenang hadapi kecaman penyokong Newcastle

SHANGHAI: Pengurus Newcastle United yang baru dilantik, Steve Bruce mengakui dia berdepan tugas berat sejurus menggantikan Rafa Benitez, namun tekad akan bekerja keras membuktikan pihak yang mengkritiknya silap.

Bruce mengambil alih tugas Rafa Rabu lalu namun penyokong kelab itu tidak gembira dengan pelantikan itu dan mengecam langkah pemilik Newcastle, Mike Ashley menukar pengurus kesayangan mereka.

Kecaman menerusi Twitter dengan hashtag #BruceOut terus meletus sejurus dia dilantik manakala firma pertaruhan pula meramalkan Bruce akan dipecat sebelum tamat musim 2019/2020.

Bruce, yang juga anak kelahiran Newcastle dan penyokong tegar Magpies sejak zaman kanak-kanak, kini berada di China untuk mengetuai anak buahnya yang terbabit dalam jelajah pra musim.

"Saya sama seperti orang lain, saya juga ada impian,” kata Bruce kepada NUFC TV di Shanghai.

Newcastle akan berdepan West Ham United dalam aksi Trofi Liga Perdana Asia, esok.

"Jika kamu tidak dapat bermain bersama mereka, apa gunanya kamu dilantik?. Saya bangga diberi peluang dan saya akan lakukan yang terbaik.

"Saya sedar tanggapan orang ke atas saya, saya bukan Rafa dan saya faham tugas berat menanti saya. Tapi percayalah kepada saya, saya akan berikan segala-galanya yang termampu, harapnya saya dapat buktikan pengktritik saya silap.”

Newcastle belum lagi membeli pemain dalam tempoh jendela perpindahan ini dan kini kehilangan khidmat penyerang, Salomon Rondon dan Ayoze Perez, yang menyumbang separuh gol mereka dalam kempen musim lalu.

"Aapabila menerima tugasan ini, perkara pertama yang harus dilakukan ialah membentuk skuad dan kami sedar kehilangan Rondon dan Ayoze, kami kekurangan bahagian itu dan kami akan usahakan mencari pengganti,” kata Bruce.

"Tapi skuad ini banyak pemain yang bagus sebab itu mereka boleh bertahan di Liga Perdana Inggeris. Sekarang menjadi tugas saya memacu kelab ini lebih ke depan dan saya akan laukan yang terdaya untuk mencapainya.”

Bruce ketika zaman sebagai pemain mewakili Manchester United dari 1987-96 dan menjadi pengurus beberapa kelab termasuk seteru Newcastle, Sunderland bermula 2009-11.

Newcastle akan memulakan kempen EPL dengan melayan kunjungan Arsenal pada 11 Ogos ini. – Reuters

Berita Harian X