Khamis, 18 Julai 2019 | 11:11pm
BEKAS penyerang Liverpool, Daniel Sturridge. - Foto REUTERS

Sturridge undang masalah

LONDON: Bekas penyerang Liverpool, Daniel Sturridge didenda dan digantung selama enam minggu kerana melanggar peraturan pertaruhan, umum Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), hari ini.

Suruhanjaya Kawal Selia Bebas mendapati Sturridge, 29, dan beraksi 26 kali untuk England mengarahkan abangnya untuk membuat pertaruhan kemungkinan perpindahannya ke Sevilla semasa jendela perpindahan Januari 2018.

Suruhanjaya itu menggantung Sturridge daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak domestik selama enam minggu, dengan penggantungan lanjutan selama empat minggu berserta denda £75,000 (RM385,146).

Sembilan daripada 11 pertuduhan membabitkan pemain itu begitupun digugurkan dan dia bebas untuk meneruskan kariernya pada 31 Julai, sebelum musim baharu Liga Perdana membuka tirainya.

FA begitupun berkata hukuman itu sepatutnya lebih berat dan rayuan terhadapnya mungkin dilakukan.

Sturridge meninggalkan juara Eropah, Liverpool apabila kontraknya berakhir pada Jun lalu dan tidak dimiliki sebarang kelab ketika ini. 

FA dalam satu kenyataan berkata: “Suruhanjaya Kawal Selia Bebas membuktikan tiga daripada empat tuduhan, yang mendakwa, pada jendela perpindahan yang sama, Sturridge mengarahkan abangnya, Leon untuk membuat pertaruhan terhadap kemungkinan perpindahan membabitkannya (Daniel Sturridge) ke Sevilla FC.

“Ketika mengeluarkan arahan itu, Suruhanjaya Kawal Selia Bebas mendapati Sturridge menyediakan abangnya dengan maklumat dalaman bagi tujuan berkenaan.”

“FA dengan hormat tidak bersetuju dengan penemuan suruhanjaya dan akan membuat rayuan terhadap hukuman yang sudah dikenakan.”

Sturridge begitupun berpindah ke West Brom pada pertengahan musim 2017/18 selepas perpindahannya ke kelab La Liga, Sevilla tidak menjadi kenyataan. - AFP

 

 

2212 dibaca
Berita Harian X