Khamis, 18 Julai 2019 | 9:48am
Jurgen Klopp dan Sadio Mane.

Klopp bimbang Mane tak cukup rehat

LIVERPOOL: Jurgen Klopp bimbang Sadio Mane tidak mendapat rehat yang cukup menjelang sepak mula Liga Perdana Inggeris (EPL) memandangkan dia perlu membantu Senegal mengharungi aksi final Piala Negara Afrika menentang Algeria di Mesir, Sabtu ini.

Aksi final di Stadium Antarabangsa Kaherah itu bermakna Mane akan beraksi hampir 12 bulan selepas turut membantu negaranya dalam kempen Piala Dunia 2018 di Russia.

Liverpool akan memulakan musimnya pada 4 Ogos depan dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang juara liga, Manchester City di Wembley.

Selepas itu, Liverpool akan menanti kunjungan pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Norwich City di perlawanan EPL pada 9 Ogos bagi musim 2019-20.

Justeru, Klopp mengakui bimbang Mane akan berdepan keletihan pada untuk memulakan musim baru ini dan belum menyatakan tarikh untuk memanggil pemain itu menyertai latihan.

"Mengenai Sadio, kita akan tengok apa yang perlu dilakukan selepas final nanti,” kata Klopp kepada laman web Liverpool.

"Ia pasti sukar baginya. Tinggal 16 hari lagi sebelum menentang City. Kami perlu membuat keputusan, tapi kami belum sempat lagi.”

Ketika tarikh Mane dipanggil belum diputuskan, skuad Klopp yang kini mengadkaan jelajah pra musim di Amerika Syarikat mengesahkan Mohamed Salah, Roberto Firmino dan penjaga gol Brazil, Alisson masing-masing akan menyertai latihan di Evian, hujung bulan ini.

Trio berkenaan masing-masing diberi cuti tambahan kerana komitmen bersama pasukan kebangsaan dalam Piala Negara-Negara Afrika dan Copa America.

Klopp yakin trio berkenaan cergas sepenuhnya menjelang pertemuan menentang City.

"Ini bermakna kami ada tempoh seminggu sebelum bertemu City, tempoh12 hari semelum melawan Norwich dan kemudian 15 atau 16 hari sebelum menentang Chelsea (Piala Super UEFA)," kata Klopp.

"Kami perlu menunggu. Perkara bagus apabila tempoh rehat yang pendek ini ialah kamu tidak membazir banyak masa.” – Agensi

Berita Harian X