Rabu, 17 Julai 2019 | 11:28pm
PEMAIN Pahang Mohamadou Semareh (dua, kiri) dihalang pertahanan Felda United Thiago Junio De Aquino pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur. - Foto BERNAMA

Pahang sah naib juara Liga Super

KUANTAN: Pahang mengesahkan gelaran selaku naib juara Liga Super apabila menewaskan FELDA United 3-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

 

Biarpun masih berbaki satu perlawanan bertemu Melaka United Sabtu ini, skuad kendalian Dollah Salleh yang sudah mengutip 40 mata tidak lagi mampu dipintas Kedah dan Selangor.

 

Bagi FELDA United, kekalahan itu memerlukan kelab itu bangkit merekod kemenangan ke atas Kedah pada aksi penutup tirai Liga Super musim 2019, Ahad ini.

 

Pada perlawanan itu, tuan rumah membuka tirai jaringan menerusi tandukan penyerang import, Lazarus Kaimbi selepas menerima hantaran lintang Saddil Ramdani minit ke-13.

 

Pada minit ke-27, pemain tengah The Fighters, S Chanturu menjaringkan gol penyamaan 1-1 selepas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Remezey Che Ros.

 

Selepas itu, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk kembali mendahului perlawanan tetapi akur tiada tambahan jaringan dapat dilakukan pada separuh masa pertama.

 

Bersambung babak kedua, tuan rumah memperkuatkan jentera serangan apabila menyenaraikan Faisal Halim, Norshahrul Idlan Talaha dan Dickson Nwakaeme.

 

Minit ke-71, pemain pertahanan, Herold Goulon kembali meletakkan Pahang di hadapan selepas menanduk masuk bola ke gawang lawan hasil sepakan percuma oleh Faisal.

 

Tiga minit sebelum tamat perlawanan, Nwakaeme menjaringkan gol ketiga untuk memastikan Pahang mengutip tiga mata dan mengesahkan gelaran naib juara musim ini.

Berita Harian X