Rabu, 17 Julai 2019 | 8:59pm
SETIAUSAHA Agung FAM, Stuart Ramalingam. - Foto Danial Saad

Harimau Malaya dijangka jumpa Syria, Yaman aksi pemanas badan

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka mengatur satu perlawanan persahabatan baharu buat skuad Harimau Malaya sebagai aksi pemanas badan sebelum ke Indonesia bagi menghadapi skuad Garuda pada perlawanan pertama Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, 5 September ini.

Mengikut perancangan awal, Harimau Malaya dijangka bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada penghujung bulan depan atau awal September, namun ia terpaksa diubah berikutan lawan itu turut berada dalam kumpulan sama dalam saingan kelayakan.

Berdasarkan jadual perlawanan, Syria, Yaman dan Hong Kong akan ke rantau Asia Tenggara untuk aksi pertama sekali gus mungkin jadi pengganti kepada UAE.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata pihaknya akan berhubung dengan pasukan berkenaan dan keputusan bergantung kepada lawan terbabit sama ada akan singgah di sini atau pun sebaliknya.

"Sebelum ini (perancangan menentang UAE) dibuat kerana kita belum tahu dimana perlawanan pertama. Dengan adanya undian ini, sekarang kita boleh berhubung dengan pasukan tertentu sebelum mereka bermain di negara Asia Tenggara lain.

"Perlawanan persahabatan ini akan diadakan di sini. Terpulang kepada pasukan berkenaan tetapi saya harap mereka boleh bermain dengan kita," katanya ketika ditemui selepas undian di Bukit Jali, hari ini.

Pada undian itu, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan G bersama UAE, Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Mengulas keputusan undian berkenaan, Stuart berkata skuad Harimau Malaya memiliki peluang baik untuk pusingan akhir Piala Asia 2023.

"Saya rasa daripada undian ini, kita ada peluang sebab kita sudah faham lawan kita. Semua pasukan Asia Tenggara pun sependapat dengan kita. Tuah undian kita sudah dapat, sekarang bergantung kepada hasil atas padang," katanya.

Berita Harian X