Rabu, 17 Julai 2019 | 8:56pm
Alexis Sanchez. - Foto Reuters

'Sanchez mampu sumbat 20 gol musim depan'

LONDON: Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya bintangnya Alexis Sanchez berupaya meledak lebih 20 gol musim depan jika dia berjaya mengembalikan prestasi terbaiknya.

Penyerang antarabangsa Chile itu bergelut sepanjang 18 bulan di Old Trafford dengan ramai pengkritik mula mempersoalkan harga tinggi yang dibayar Red Devils bagi mendapatkan khidmatnya dari Arsenal.

Selepas pulih daripada kecederaan yang turut mengehadkan penampilannya, Sanchez begitupun hanya mampu meledak lima gol dan enam umpanan sepanjang 45 perlawanan sekali gus mencetus persoalan mengenai statusnya sebagai pemain yang menerima gaji paling tinggi di kelab itu.

Tetapi Solskjaer jelas masih belum berputus asa terhadapnya dan menegaskan akan melakukan apa saja yang terdaya bagi mengembalikan prestasi bekas pemain Barcelona itu.

“Kami tahu apa yang mampu di lakukan,” kata Solskjaer. “Kami perlu mencari jalan, saya dengan Alexis, bersama pasukan, kerana ada pemain-pemain yang amat bagus di sana.

“Jika kami memberinya peluang, dia boleh memberikan kami 20 gol dengan mudah jika dia berada di prestasi terbaiknya. Saya tidak bercakap mengenai individu, tetapi Alexis menjadi tumpuan sejak dia datang ke sini.

“Dia mengharungi tempoh yang menakjubkan di Arsenal dan kami mahu dia kembali menyumbat gol di Old Trafford. Ia akan meningkatkan semangat kami.”

Sekali pun mengharungi kempen terumbang ambing di peringkat kelab, Sanchez tampil berbisa ketika beraksi bersama skuad kebangsaan apabila membantu Chile mara ke separuh akhir Copa America baru-baru ini. - Agensi

1395 dibaca
Berita Harian X