Rabu, 17 Julai 2019 | 10:27am
SOLSKJAER (kanan) yakin Pogba jadi yang terbaik. - Foto AFP

Solskjaer yakin Pogba akan kembali menyinar

PERTH: Ole Gunnar Solskjaer yakin dia masih mampu mendapatkan yang terbaik daripada Paul Pogba jika bintang Manchester United itu kekal di Old Trafford.

United akan terus mengekalkan Pogba melainkan Real Madrid atau Juventus membuat tawaran besar sekitar £170 juta pound (RM867 juta) buat pemain Perancis itu.

Pogba dan ejennya, Mino Raiola tidak berahsia mengenai keinginan untuk meninggalkan kelab berkenaan, namun Solskjaer percaya dia boleh memberikan motivasi buat pemain dengan rekod pembelian United itu untuk menjadi pemain utama kelab musim depan.

“Saya boleh berikan dia cabaran baharu,” kata pengurus United itu.

“Paul ialah pemain utama dan pemain yang hebat. Dia tidak pernah ada masalah. Jika kami boleh membuatkan dia kembali bermain seperti dia mula datang ke sini, dia akan membawa kemenangan buat anda.

“Saya tidak pernah kecewa dengan apa yang pernah dikatakannya kerana kami selalu berbincang dan kami tahu apa yang Paul fikirkan.

“Saya tidak boleh menjawab soalan berbentuk ramalan. Kami masih tiada sebarang tawaran.”

Bercakap ketika jelajah pramusim di Perth, Solskjaer menyatakan dia akan menandatangani penyerang ganti jika Romelu Lukaku dijual ketika Inter Milan bersedia membuat tawaran semula minggu ini.

Bagaimanapun United bergelut untuk menyelesaikan masalah pemain gaji termahal, Alexis Sanchez dan Solskjaer merancang untuk mengekalkan pemain Chile itu.

“Pada ketika ini, memang saya akan laukan,” katanya sambil berkata dia 'perlu membantu' Sanchez kembali ke tahap terbaik. - Agensi

 

 

751 dibaca
Berita Harian X