Selasa, 16 Julai 2019 | 11:44pm
PEMAIN Melaka United, Saiful Ridzuwan Selamat (kiri) mengasak Pemain PKNS FC, K Gurusamy (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong. NSTP/Khairunisah Lokman

PKNS sekat hajat MU

MELAKA: Hasrat Melaka United (MU) untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Super terbantut selepas terikat 1-1 berdepan PKNS FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam tadi.

Malah pelawat hampir meledak gol seawal minit ke-5 menerusi gerakan solo Kpah Sherman namun berjaya diselamatkan penjaga gol Mohamad Solehin Mamat.

Dan Solehin sekali lagi cemerlang menyelamatkan gawangnya dengan menepis sepakan percuma Jafri Firdaus Chew pada minit ke-14.

Aksi seimbang dengan gerakan menarik pelawat diketuai pemain kebangsaan Akram Mahinan dan Safiq Rahim buat MU menyaksikan pergerakan permainan begitu aktif dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.

Pada minit ke-27, rembatan lambung Safiq menggegar palang gol dan percubaan Dominik Balic (m-29) tinggi melepasi palang gol Semut Merah selain rembatan Luka Milunovic (m-44) tersasar.

Babak kedua menyaksikan skuad Hang Tuah lebih banyak mendominasi permainan dengan gol yang dicari akhirnya terhasil menerusi tolakan kapten pasukan Shukor Adan pada minit ke-54.

Bagaimanapun ketika masa permainan berbaki 10 minit, Sherman akhirnya menjadi pemusnah impian MU untuk meraih mata maksimum apabila melakukan tolakan mengelirukan untuk membantutkan usaha MU mendaki ke tangga ketiga liga.

Keputusan terbabit menyaksikan tuan rumah kekal di tangga kelima liga di belakang Johor Darul Ta'zim, Pahang, Kedah dan Selangor.

Namun skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan masih memiliki satu lagi perlawanan berdepan Pahang di Kuantan Sabtu ini.

Berita Harian X