Selasa, 16 Julai 2019 | 9:21pm
BEKAS pengurus Newcastle United, Rafael Benitez (kiri) bersama Matt Ritchie. Foto REUTERS

'Saya kecewa, terkejut...'

NANJING, China: Pemain tengah Newcastle United, Matt Ritchie mengakui ‘terkejut’ dan ‘kecewa’ apabila mengetahui bekas pengurus, Rafael Benutez dilepaskan kelab Liga Perdana berkenaan.

Newcastle ketika ini sedang ‘memburu’ Steve Bruce bagi mengambil alih tugas Benitez tetapi bekas pemain Manchester United itu dilaporkan sudah menandatangani kontrak lanjutan bersama Sheffield Wednesday.

Selain bergelut untuk mencari pengganti bagi kerusi panas berkenaan, Newcastle yang dijadual membuka kempen Liga Perdana pada 11 Ogos ini turut berdepan masalah apabila kehilangan beberapa tonggaknya.

Situasi berkenaan jelas mencetuskan berang peminat kelab yang menyalahkan pemilik, Mike Ashley susulan kegagalannya memujuk Benitez untuk kekal dengan pengendali dari Sepanyol itu sudah pun berpindah ke China bagi mengemudi kelab Dalian Yifang.

Sekali pun dianggap antara kelab yang dijangka akan tersingkir musim lalu, Benitez berjaya memimpin kelabnya untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-13.

“Melihat pengurus meninggalkan kami adalah mengecewakan kerana dia mengharungi kempen yang baik bersama pasukan,” kata Ritchie, 29, menjelang perlawanan Trofi Liga Perdana Asia di sini, hari ini.

“Tetapi ia adalah keputusan di antara pengurus dan pemilik kelab, jadi ia tiada kaitan dengan kami. Kini kami perlu melihat ke hadapan bersama pengurus baharu dan juga musim baharu.”

Kehilangan Benitez bulan lalu lebih dirasai Ritchie kerana bekas pengendali Liverpool itu bertanggungjawab memancingnya ke kelab itu dari Bournemouth pada 2016.

“Ia mengejutkan, saya ingat dia akan kekal,” kata Ritchie. “Tetapi ia sudah berlaku dan kamu perlu meneruskan kehidupan dan saya yakin pengurus baharu akan datang dengan idea yang baharu dan saya tidak sabar untuk mengharunginya.” 

Newcastle yang kehilangan Ayoze Perez ke Leicester City dan Salomon Rondon ketika ini dikendalikan ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun, Neil Redfearn dan ketua jurulatih akademinya, Ben Dawson. - AFP

Berita Harian X