Isnin, 15 Julai 2019 | 2:11pm
PEMAIN Pahang, Lazarus Kaimbi. NSTP/Farizul Hafiz Awang.

Pahang tuntut ketajaman Kaimbi

KUANTAN: Penyerang import Pahang, Lazarus Kaimbi perlu mempamerkan aksi lebih jitu apabila skuad itu berdepan FELDA United FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Rabu ini. 

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pemain kelahiran Namibia itu sepatutnya membuktikan ketajaman jika mahu membantu pasukan memburu gol. 

Katanya, ketiadaan Dickson Nwakaeme yang tersisih disebabkan kecederaan dalam tiga perlawanan seharusnya membuka peluang kepada Kaimbi mempamerkan kemampuan sebenar. 

"Bukan saja berdepan FELDA United, malah aksi terakhir bertemu Melaka United Sabtu ini juga perlu digunakan Kaimbi untuk tampil lebih cemerlang menjelang saingan Piala Malaysia bulan depan," katanya.  

Sebaik menyertai skuad Tok Gajah pada jendela perpindahan kedua, Kaimbi hanya menjaringkan satu gol setakat ini.  

Ditanya misi muncul naib juara Liga Super musim ini, Mohammed Suffian berkata, kemenangan ke atas The Fighters akan mengesahkan kedudukan itu.  

Katanya, skuad kendalian Dollah Salleh tidak perlu menunggu perlawanan terakhir liga bertemu Melaka United Sabtu ini.  

"Kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana kami hanya memerlukan tiga mata untuk mengesahkan kedudukan di tempat kedua liga.  

"Selain itu, sokongan padu peminat Tok Gajah juga dialu-alukan untuk memastikan kemenangan dan bersama meraikan kejayaan," katanya.  

Berbaki dua perlawanan, Pahang hanya memerlukan tiga mata lagi untuk mengesahkan status selaku naib juara Liga Super.

675 dibaca
Berita Harian X