Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:30pm
Paul Pogba (tengah) berjaya menggelicik dua pemain dalam perlawanan persahabatan menentang Perth Glory di Stadium Optus di Perth, Australia. - Foto EPA

Pogba bantu United jinak Perth Glory

PERTH: Bintang Manchester United, Paul Pogba yang masa depannya mencetuskan persoalan, membantu kelabnya melakar kemenangan 2-0 ke atas Perth Glory dalam aksi persahabatan, di sini, hari ini.

Walaupun turun tanpa sebarang tekanan tetapi skuad The Red Devils dilihat bergelut dalam perlawanan jelajah pramusim pasukan itu.

Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer melakukan pertukaran dalam kesebelasan utamanya dengan memasukkan beberapa pemain bintang termasuk Pogba yang dilaporkan bakal meninggalkan Old Trafford.

United akhirnya berjaya memecah kekebalan benteng pertahanan Perth pada minit ke-60 menerusi gerakan Pogba sebelum disudahkan penyerang pasukan itu, Marcus Rashford.

Selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus dan Real Madrid, Pogba beraksi sepanjang tempoh masa babak kedua perlawanan dan berjaya mempengaruhi jentera serangan United.

Pemain muda United berusia 18 tahun, James Garner melengkapkan kemenangan pasukan itu apabila meledak gol kedua menerusi percubaan dari jarak jauh pada lewat babak perlawanan. - AFP

Berita Harian X