Sabtu, 13 Julai 2019 | 12:39pm
PAUL Pogba. - Foto Reuters

United gandakan nilai Pogba

PERTH: Manchester United sedia menaikkan nilai pasaran Paul Pogba kepada £180 juta (RM936 juta) jika bintang Perancis itu dan ejennya, Mino Raiola berterusan bercakap mahu berpindah secara terbuka.

Difahamkan, United pada mulanya hanya meletakkan harga £150 juta (RM780 juta) sekiranya Pogba benar-benar mahu meninggalkan Old Trafford.

Namun selepas Pogba dan Raiola masing-masing menyatakan secara terbuka bahawa bintang Perancis itu menjadi sasaran Real Madrid dan Juventus, ia sekali gus mendorong United menaikkan nilai Pogba.

United tidak berhasrat menjual Pogba yang terikat dengan kontrak bersama Old Trafford sehingga 2022.

Bagaimanapun, jika United terpaksa menjual Pogba, maka pihak yang berminat perlu membayar sebanyak £180 juta.

United mengeluarkan belanja sebanyak £89 juta (RM459.04 juta) ketika mendapatkan Pogba daripada Juventus tiga tahun lalu.

Pogba dijangka diturunkan ketika United menentang ‘pasukan budak sekolah’ – Perth Glory di Stadium Optus lewat hari ini.

“Kami adalah Man United dan kami tak perlu menjual sesiapa. Setakat yang saya tahu, tiada siapa membida mana-mana pemain,” kata Solskjaer.

“Memang banyak spekulasi mengaitkan pemain kami, sama ada oleh pihak kita dan pihak luar, tapi bagi saya, urusan berjalan seperti biasa. Jika kamu berada di Man United, kamu memang boleh jangkakan perkara seperti ini akan berlaku setiap kali tiba musim panas.

“Paul bukan masalah kepada saya. Setiap kali dia berada di padang dia akan bekerja keras, satu sikap profesional yang membanggakan daripadanya.

“Saya tidak boleh duduk di sini sehari suntuk bercakap mengenai Paul dan ejennya. Kami masih memiliki beberapa tahun lagi kontraknya dan dia kekal memperaga sentuhannya setiap kali memulakan latihan.

“Paul tidak pernah menyisihkan diri bersama pasukan, dia sentiasa mahu beraksi, dia selalu memberikan persembahan terbaiknya. Ejen dia pula selalu bercakap mengenai Pogba nak pindah tapi kelab sebenarnya tidak menerima sebarang bidaan mendapatkannya.

“Saya bukan bercakap mengenai Mino Raiola saja, ada ramai lagi ejen di luar sana yang perlu menjaga pelanggan mereka. Kami juga ada sejumlah pemain dan pasukan yang perlu dijaga dan diuruskan.”– Agensi

Berita Harian X