Jumaat, 12 Julai 2019 | 9:37am
Romelu Lukaku. - Foto AFP

Inter tunjuk minat dapatkan Lukaku

MILAN: Pengarah Sukan Kelab Inter Milan, Piero Ausilio mengesahkan bahawa mereka sudah mengadakan ‘pertemuan rasmi’ bersama Manchester United berhubung masa depan Romelu Lukaku.

Lukaku kini menjadi sasaran Inter, yang menghantar wakil mereka ke England bagi mencapai kata putus rundingan mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa Belgium itu.

Lukaku yang memiliki kontrak bersama Red Devils hingga 2022 dengan klausa pilihan setahun tambahan, menyertai United dari Everton dengan yuran £75 juta (RM390 juta) pada 2017 dan kelab terkaya Liga Perdana Inggeris itu mahu mengekalkan jumlah itu andainya Inter berminat mendapatkannya.

Ausilio yang kembali ke Milan semalam memberitahu wartawan dengan berkata: "Kami ada mesyuarat dengan Manchester United mengenai Lukaku.


PENGARAH Sukan Kelab Inter Milan, Piero Ausilio. - Foto Reuters

"Ia adalah rundingan rasmi antara dua kelab. Kita lihat apa yang akan berlaku selepas ini.

"Semua pemain yang kami sasarkan mendapat persetujuan daripada Antonio Conte. Kami mahu dia puas hati dengan pembelian yang kita mampu."

Lukaku, sebelum ini menyatakan minatnya beralih ke liga di Itali dan mungkin berpisah dari Old Trafford dan hasrat Lukaku nyata bertepatan apabila pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer dilihat mengutamakan Marcus Rashford di bahagian depan yang sudah menyumbat 12 gol liga musim lalu.

Ketika ini, pemain berusia 26 tahun itu berada di Australia menyertai Jelajah pramusim dan menjadi pemain utama membantu United menamatkan saingan liga di tangga keenam dengan 15 jaringan di semua kejohanan termasuk ketika kalah di suku akhir Liga Juara-Juara di tangan Barcelona. – Agensi

651 dibaca
Berita Harian X