Jumaat, 12 Julai 2019 | 7:32am
YOUSSEF Msakni meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika perlawanan menentang pasukan Madagascar. - Foto Reuters

Tunisia sekat langkah Madagascar

KAHERAH: Tunisia menamatkan langkah cemerlang Madagascar apabila merakam kemenangan 3-0 dalam saingan suku akhir Piala Negara-Negara Afrika, pagi tadi.

Madagascar, sebuah negara kecil yang tidak memiliki tradisi bola sepak hebat seperti jirannya, tidak menjangka ke suku akhir buat julung kalinya dan mampu bertahan sehinggalah ke babak kedua apabila Ferjani Sassi berjaya memecah kebuntuan.

Youssef Msakni menambah jaringan buat pasukan ranking ke-25 itu berbanding Madagascar (107) disusuli jaringan daripada pemain gantian, Naim Sliti di hujung babak kedua.

Tunisia bakal berdepan Senegal di separuh akhir Ahad ini.

Tunisia sebelum ini seri empat perlawanan peringkat kumpulan dan menyingkirkan Ghana menerusi penentuan penalti di peringkat 16 terakhir.


AKSI Youssef Msakni selepas menjaringkan gol. - Foto Reuters

Tunisia kemudian menewaskan Nigeria dan Congo juga menerusi penalti dalam pertembungan awal mereka.

Begitupun, dalam aksi pagi tadi, Madagascar pada babak pertama berjaya mengekang asakan lawannya yang lebih menguasai permainan.

Bersambung babak kedua, Tunisia kembali menguasai rentak permainan namun ketangkasan penjaga gol Madagascar, Melvin Adrien dua kali menafikan cubaan tepat sayap lawan, Wahbi Khazr.

Adrien sekali lagi menyelamatkan rembatan leret Ghaylen Chaalali dari jarak 25 meter.

Rembatan Sassi pada minit ke-52 tidak mencemaskan Adrien namun bola yang melantun terkena Thomas Fontaine menerjah gawang jelas menghampakannya.

lapan minit kemudian, Adrien menangkis cubaan Khazri namun hampa apabila Msakni bingkas menyudahkan jaringan ke bucu gawang sebelum Sliti menambah gol ketiga di minit akhir. – Reuters

Berita Harian X