Khamis, 11 Julai 2019 | 11:02pm
PRESIDEN Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan. NSTP/Abdullah Yusof

'Nak berjaya kena ada kemahiran'

KUALA LUMPUR: Kalau tiada kemahiran yang baik, formasi apa sekalipun tetap tidak berjaya!”

Itu reaksi daripada Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan ketika diminta mengulas mengenai pendekatan yang digunakan dalam DNA Bola Sepak Malaysia apabila bakal menerapkan formasi 4-3-3 secara menyeluruh di semua peringkat usia.

Jelas bekas jurulatih skuad kebangsaan itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap perlu memberi penekanan untuk meningkatkan lagi kemahiran pemain di peringkat akar umbi bagi memastikan usaha terbabit itu berjalan dengan lancar di setiap peringkat usia yang mahu diterapkan.

“Kita selalu mendengar pujian jurulatih luar yang menyatakan pemain kita bagus daripada segi teknikal namun teknikal itu hanyalah membabitkan pengawalan ketika tidak berdepan halangan mahupun tekanan.

“Namun daripada segi kemahiran individu, itu kekurangan pemain kita. Aspek ini mustahak kerana pada aksi sebenar, tidak banyak ruang yang akan diberikan kepada pemain ketika di atas padang. Ini antara punca pemain kita tidak dapat pergi jauh lebih tinggi.

“Jadi, kemahiran individua pemain perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan mereka faham apa yang perlu dilakukan dan apa fungsi mereka dalam taktikal mahupun formasi yang ingin diterapkan.

“Bukan setakat kemahiran namun aspek lain seperti contohnya pemikiran yang pantas untuk membuat keputusan, kelajuan dan ketika bertahan juga harus dititikberatkan,” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Hari ini, BH Sukan melaporkan asas formasi 4-3-3 yang menjadi teras dalam DNA Bola Sepak Malaysia yang dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat menjadi formasi paling sesuai untuk menyerlahkan lagi potensi pemain negara.

Jelas Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, formasi itu adalah satu pendekatan yang logik selepas menilai kemampuan pemain negara yang diyakini dapat menterjemahkan falsafah bola sepak yang diinginkan dengan baik.

Mengulas lanjut, Sathianathan menegaskan formasi 4-3-3 itu bukanlah ‘statik’ seperti yang dijangka memandangkan beberapa variasi boleh digunakan dalam formasi terbabit.

“Ada pelbagai cara untuk menggunakan formasi 4-3-3. Mungkin ada pasukan yang guna dua pemain tengah bertahan dan mungkin ada yang guna dua pemain tengah menyerang,” katanya.

Sebagai rekod, penyelidikan terkini daripada Persatuan Kelab Eropah (ECA) menunjukkan majoriti 96 pasukan yang menjadi sebahagian penyelidikan menggunakan sistem permainan yang konsisten iaitu 4-3-3.

1128 dibaca
Berita Harian X