Rabu, 10 Julai 2019 | 11:48pm
PENGARAH Teknikal FAM, Peter De Roo memberi taklimat mengenai DNA Bola Sepak Malaysia pada Majlis Pelancaran DNA Bola Sepak Malaysia, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Subang. NSTP/Azhar Ramli.

Formasi 4-3-3 paling sesuai: De Roo

KUALA LUMPUR: Formasi 4-3-3 yang menjadi asas dalam DNA Bola Sepak Malaysia dilancarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam dilihat sebagai formasi paling sesuai untuk menyerlahkan lagi potensi pemain negara.

Jelas Pengarah Teknikalnya, Peter de Roo, formasi itu adalah satu pendekatan yang logik selepas menilai kemampuan pemain negara yang diyakini dapat menterjemahkan falsafah bola sepak yang diinginkan dengan baik.

“Bola sepak sememangnya berkembang dengan pesat dan banyak berubah dalam tempoh 10 hingga 12 tahun ini. Namun jika melihat kepada pasukan yang berjaya secara konsisten, mereka mengamalkan corak permainan menguasai bola dan pendekatan proaktif,” kata De Roo.

“4-3-3 mungkin formasi paling sesuai untuk menghidupkan skuad negara namun mungkin boleh menjadi 4-2-3-1, bermain dengan seorang pemain tengah bertahan atau seorang pemain tengah menyerang. Ini akan menggalakkan banyak kombinasi dan bermula permainan daripada bawah.

“Untuk beraksi di peringkat lebih tinggi, ia memerlukan keputusan berkualiti dan transisi yang pantas. Kita tidak boleh mengajar pemain muda sekadar melakukan hantaran kepada pemain nombor sembilan.

“Inilah falsafah yang akan kita gunakan bagi semua peringkat. Saya percaya DNA Bola Sepak Malaysia ini cukup bagus untuk masa depan bola sepak negara dan ia disokong oleh semua ahli gabungan.” 

Berita Harian X