Selasa, 9 Julai 2019 | 11:05pm
Penyerang Pahang, Mohamadou Sumareh (tengah) diasak pemain PKNS FC, P Gunalan (kanan) pada saingan Liga Super 2019 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - NSTP/Zulkepli Osman

Davies wira Pahang atasi PKNS

KUANTAN: Pahang meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan PKNS FC 3-2 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Gol ketiga yang dijaringkan kapten pasukan, Matthew Davies seminit sebelum tamat perlawanan membantu skuad Tok Gajah mengutip tiga mata, sekali gus kekal di kedudukan kedua Liga Super.

Namun, pada perlawanan itu, skuad kendalian Datuk K Rajagobal terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah hasil rembatan Tommy Mawat Bada tetapi berjaya ditepis keluar penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros pada minit ke-10.

Selepas itu, skuad Tok Gajah mula mengatur serangan dan ia berhasil menerusi tandukan pemain pertahanan import, Herold Goulon pada minit ke-30.

Tiga minit sebelum berakhir separuh masa pertama, Muslim Ahmad yang juga pemain pertahanan menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah.

Bersambung babak kedua, PKNS yang jarang memberi ancaman ke kubu tuan rumah berjaya merapatkan jurang menerusi sentuhan penyerang import, Kpah Sherman pada minit ke-60.

Lima minit kemudian, pemain gantian, Gabriel Guerra merapatkan kedudukan 2-2 yang menyaksikan Remezey tewas buat kali kedua.

Ketika lawan menjangkakan mampu mencuri satu mata, Davies memastikan tuan rumah mengutip tiga mata untuk meneruskan kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

712 dibaca
Berita Harian X