Selasa, 9 Julai 2019 | 8:56pm
Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak Belia, Datuk Seri Subahan Kamal. - NSTP/Azhar Ramli

FAM lancar DNA bola sepak Malaysia

SUBANG JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melancarkan DNA Bola Sepak Malaysia hari ini sebagai rujukan dalam memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak seperti yang diinginkan badan induk itu.

Timbalan Presiden FAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bolasepak Belia, Datuk Seri Subahan Kamal menyifatkan program terbabit sebagai manifestasi bola sepak negara yang turut merangkumi sistem kejurulatihan yang seragam merentasi semua peringkat usia daripada peringkat akar umbi sehingga peringkat elit dan senior.

Menurut Subahan, DNA terbabit seharusnya menjadi garis panduan kepada pemain, jurulatih dan tenaga pengajar jurulatih dari peringkat bawah sehinggalah ke peringkat tertinggi.

“Kajian mengenai DNA Bola Sepak ini diketuai Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo seawal Oktober 2017 dan ia merangkumi permainan yang menitikberatkan etika kerja sepasukan, dengan menyerang secara teratur dan bertahan secara berpasukan,” kata Subahan.

“Secara umumnya, DNA Bola Sepak Malaysia adalah petunjuk kepada semua pihak supaya dapat menunjukkan corak permainan yang sama dan seragam membabitkan pelbagai peringkat.

“Sasaran kita adalah melahirkan pemain yang benar-benar bermain cara DNA Bola Sepak Malaysia pada tahun 2030 di mana ia sejajar dengan kemuncak peta Hala Tuju F:30.”

Dalam perkembangan sama, Subahan optimis program terbabit akan mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada semua ahli gabungan yang dilihat menjadi pemain penting dalam menjayakan falsafah terbabit.

“Kita akan sentiasa memantau perkembangan program ini dalam kalangan ahli gabungan bagi melihat sama ada pelan dalam program ini dipraktikkan bagi program pembangunan mereka.

“Saya yakin ahli gabungan juga dapat bergerak selari dengan hasrat FAM, jadi yakin kita tidak akan berdepan masalah di mana kita sentiasa bekerjasama dengan ahli gabungan serta semua pihak yang terbabit terus dengan program pembangunan bola sepak di negara ini,” katanya.

Berita Harian X