Sabtu, 6 Julai 2019 | 7:33am
PEMAIN Atletico Madrid, Antoine Griezmann dituduh tidak menghormati pasukan.

'Jangan lari! sila lapor diri'

MADRID: Atletico Madrid mengarahkan Antoine Griezmann melapor diri untuk latihan pra musim meskipun dua bulan lalu dia mengakui akan meninggalkan kelab itu sekali gus dituduh tidak menghormati Atletico ketika dia berbincang menyertai Barcelona heboh dilaporkan media.

Atletico semalam menerusi laman web rasminya mengeluarkan arahan kepada bintang Perancis itu selepas Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Barca sudah mengadakan perbincangan dengan CEO Atletico, Miguel Angel Gil Marin berhubung kedudukan Griezmann.

Atletico mendakwa Griezmann dan Barcelona memulakan perbincangan untuk pindah ke Nou Camp pada Februari dan setuju dengan terma pada Mac iaitu ketika pertengahan peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara sedang berlangsung yang menyaksikan mereka tewas 2-3 secara agregat di tangan Juventus.

"Atletico Madrid ingin menyatakan rasa tak puas hati ke atas sikap kedua-dua pihak terutama FC Barcelona kerana mempengaruhi pemain untuk tidak setia dengan Atletico Madrid..." kata kenyataaan itu.

Atletico juga mendakwa Barca melanggar tempoh perjanjian perlindungan pemain, mengubah asas intergriti dalam pentadbiran kesukanan dan pertandingan hingga menyebabkan "kerosakan teruk kepada kelab dan jutaan penyokong.”

Kenyataan itu juga menyebut betapa Atletico menolak permintaan Barca untuk mengadakan rundingan semula berkenaan yuran perpindahan Griezmann berbanding bayaran tebus kontrak sebanyak 120 juta euro (RM564 juta).

"Maklum balas Atletico Madrid adalah negatif kerana kami percaya FC Barcelona dan pemain berkenaan tidak menghormati pendirian Atletico Madrid dan semua penyokongnya,” kata kelab itu.

"Akibat tindakan itu, hari ini Atletico Madrid mengarahkan pemain itu, adiknya bersama ejen dan peguamnya  supaya Antoine Griezmann yang perlu mematuhi perjanjian termaktub dalam kontraknya bersama kelab ini mesti tampil Ahad depan di pusat latihan kelab untuk memulakan latihan pra musim bersama rakan pemain yang lain.”

Mei lalu, Griezmann menerusi mesej rakaman videonya mengakui akan meninggalkan Atletico tanpa menyebut kelab baharunya sambil menafikan pindah ke Barca ketika sebuah dokumentari TV bertajuk "The Decision" disiarkan tahun lalu.

Dalam pada itu, Presiden Barcelona, Bartomeu yang ditemui ketika meraikan kedatangan pemain Ajax, Frenkie de Jong ke Nou Camp semalam enggan mengulas mengenai kenyataan tegas Atletico itu.

Wakil Griezmann juga gagal dihubungi untuk memberikan ulasan mengenai perkembangan terbaru itu. – Reuters

Berita Harian X