Jumaat, 5 Julai 2019 | 11:28pm
Pemain PKNS FC Mahalli Jasuli (dua, kanan) cuba menggawal bola dari dua pemain Terengganu FC pada perlawanan Liga Super 2019 antara pasukan PKNS FC bertemu pasukan Terengganu FC di Stadium Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Terengganu tambah derita PKNS

SHAH ALAM: Terengganu FC (TFC) terus menambah derita buat PKNS FC selepas meraih kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Ketika skuad Semut Merah itu begitu memerlukan kemenangan selepas sekadar meraih satu mata dalam tiga aksi terdahulu, skuad Penyu memastikan tuan rumah terus kempunan kemenangan dengan jaringan pada setiap babak membolehkan mereka meraih kemenangan kedua berturut turut.

Pada aksi terbabit, permainan seimbang ditunjukkan pada awal babak pertama yang menyaksikan tiada percubaan berbahaya dapat dihasilkan kedua-dua pasukan pada 10 minit pertama perlawanan.

Bagaimanapun, TFC tampak lebih banyak mengasak kubu lawan namun beberapa serangan yang dilakukan berjaya disekat pertahanan rumah selain beberapa percubaan liar yang dilakukan gagal mengugat gawang PKNS FC.

PKNS FC menarik nafas lega apabila percubaan Tchetche Kipre pada minit ke-28 sekadar singgah di tiang tetapi kelegaan mereka berakhir apabila gerakan menarik TFC disudahkan Sanjar Shaakhmedov yang menggelecek Farhan Abu Bakar sebelum meledak gol pembukaan tujuh minit berselang.

Berbaki empat minit babak pertama, PKNS FC agak bernasib baik apabila dapat memastikan mereka tidak ketinggalan jauh apabila sepakan percuma Lee Tuck menggegar palang sekali gus memaksa keputusan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, PKNS FC tampil dengan aksi lebih kemas namun beberapa gerakan yang dilakukan tidak cukup untuk menghasilkan jaringan penyamaan terutamanya selepas dibantu aksi cemerlang penjaga gol pelawat, Muhd Ilham Amirullah Razali yang menafikan beberapa percubaan.

Tampak goyah berkelebihan satu gol, TFC kembali mengasak untuk mendapatkan gol kedua namun ia tidak berlaku apabila sebaliknya, PKNS FC yang menyumbat gol penyamaan menerusi penyudah pemain gantian, Kittiphong Pluemjai ketika permainan berbaki tujuh minit.

Kedudukan 1-1 hanya bertahan tiga minit apabila TFC kembali di hadapan menerusi tandukan Nasrullah Haniff Johan yang menjadi gol kemenangan sekali gus membolehkan TFC membawa pulang mata penuh ke Kuala Terengganu.

Berita Harian X