Ahad, 30 Jun 2019 | 2:05pm
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John. NSTP/Owee Ah Chun

ASEAN All Star bercanggah peraturan FIFA: AFC

KUALA LUMPUR: Adakah penyertaan satu pasukan yang dibarisi pemain terbaik dari Asia Tenggara (ASEAN All Star) dapat dianggap langkah yang terbaik bagi memastikan hasrat mereka bagi menganjurkan Piala Dunia 2034 dapat dicapai?

Cadangan terbabit tampak dapat menyelesaikan isu mengenai jumlah slot automatik yang bakal ‘dikorbankan’ selepas hanya satu slot diambil bagi pasukan ke Piala Dunia apabila pasukan ASEAN bakal mewakili semua tuan rumah bersama.

Malah, himpunan pemain terbaik daripada rantau ini juga mungkin mampu memberikan saingan di pentas berprestij itu berbanding bertanding sendirian memandangkan kemampuan mereka dan juga ranking tidak berada pada tahap yang baik berbanding pasukan ‘tetap’ dalam Piala Dunia.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Windsor Paul John menegaskan cadangan terbabit adalah mustahil untuk dilaksanakan dan ia turut melanggar peraturan yang sudah ditetapkan.

“Piala Dunia hanyalah untuk pasukan negara sahaja. Peraturan mengatakan saingan membabitkan antara negara.

“Jadi, sebarang kombinasi contohnya ASEAN All Star sememangnya tidak dibenarkan berdasarkan peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA),” katanya ketika dihubungi BH Sukan.

Terdahulu, kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034, demikian dimaklumkan oleh Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok, minggu lalu.

Bagaimanapun, China sebelum ini sudah menyatakan hasrat untuk melakukan bidaan ke atas Piala Dunia 2030 dan situasi itu memaksa negara ASEAN mungkin perlu menunggu lebih lama sekiranya China memenangi bidaan terbabit.

Ini susulan Polisi Penggiliran FIFA yang tidak membenarkan negara daripada benua yang sama menganjurkan dua kejohanan Piala Dunia secara berturut turut sekali gus menyaksikan negara ASEAN hanya dapat membida semula bagi edisi 2038.

Berita Harian X