Rabu, 26 Jun 2019 | 11:25pm
Pemain TFC, Tchetche Hermann Brice Kipre (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. - NSTP/Rozainah Zakaria

TFC kotakan janji kutip tiga mata

KUALA TERENGGANU: Pemain Terengganu FC (TFC) mengotakan janjinya apabila mengutip tiga mata selepas menumpaskan Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun pada 20 minit pertama tidak ada percubaan bahaya  daripada kedua-dua pasukan selain corak permainan hambar dipamerkan anak buah Nafuzi Zain dan pengendali KL, Chong Yee Fatt.

Memasuki pertengahan babak pertama, skuad Penyu memperoleh dua percubaan menarik menerusi Ahmad Syamim Yahya dan Mohamad Nabil Latpi tetapi gagal menerjah jaring gol.

Pada minit ke-34, skuad Penyu dihadiahkan penalti selepas Nabil dijatuhkan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli selepas menerima lorongan cantik pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov.

Kapten, Lee Tuck yang mengambil sepakan penalti itu pada minit ke-36 tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk mencetak jaringan pendahuluan perlawanan.

Pada minit ke-39, skuad The City Boys memperoleh peluang menarik apabila Paulo Josue hanya berdepan penjaga gol, namun bola tolakan pemain itu berjaya ditepis Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Dua minit berselang, pelawat menuju ke bilik persalinan dengan wajah ceria apabila Darko Markovic mudah menolak masuk ke dalam gawang gol selepas bola muntah daripada dakapan Muhamad Ilham untuk mengikat kedudukan 1-1.

Bersambung babak kedua TFC tampil dengan aksi lebih bertenaga dan hampir menambah jaringan menerusi Shaakhmedov tetapi sepakannya sedikit tersasar.

Berpunca sepakan sudut Tuck, pemain pertahanan muda baru dinaikkan 'pangkat', Muhammad Mohd Fauzi berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol kedua apabila bijak menolak masuk hasil kelam kabut dalam kotak penalti.

Berbaki lapan minit perlawanan, pemain gantian, Malik Mat Ariff menambah ceria tuan rumah apabila berjaya meledak gol ketiga pasukannya melalui rembatan kencang dari  dalam kotak penalti hasil umpanan Shaakhmedov kedudukan 3-1.

896 dibaca
Berita Harian X