Rabu, 26 Jun 2019 | 11:17pm
Pemain JDT, Diago Santo (tengah) meraikan jaringan gol kedua pada minit ke-26 bersama pasukannya pada perlawanan Liga Super menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat, Krubong. - NSTP/Rasul Azli Samad
Pemain JDT, Muhammad Safawi Rasid (kiri) cuba melepasi halangan pemain Melaka United, Mohamad Faris Shah Mohd Rosli pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat hari ini. - Foto BERNAMA

JDT sahkan gelaran juara Liga Super

MELAKA: Johor Darul Ta'zim (JDT) sah bergelar juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Melaka United (MU)  2-1 di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.

Menguasai hampir keseluruhan babak pertama, skuad Harimau Selatan membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi tolakan Muhammad Nazmi Faiz Mansor.

Import Brazil, Diago Santo mudah mengelirukan benteng tuan rumah untuk menolak masuk gol kedua JDT pada minit ke-26 selepas menerima hantaran Corbin Ong.

Peluang terbaik MU merapatkan jurang hadir buat pertama kali pada minit ke-45 namun rembatan Luka Milunovic yang menerima hantaran lintang Davy Angan tersasar.

Pada babak kedua, tuan rumah cuba mengubah corak permainan dengan aksi  lebih seimbang dalam misi memperoleh jaringan namun percubaan Safiq Rahim pada minit ke-54 tersasar ke kiri gawang lawan.

Pelawat tetap bernafsu menambah jaringan namun sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-78 tinggi melepasi palang.


Kapten Melaka United, Muhammad Shukor Adan (belakang) menghalang pemain JDT, Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada aksi perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong. - NSTP/Rasul Azli Samad

MU akhirnya berjaya mendapat jaringan saguhati pada minit ke-84 selepas kapten pasukan, Mohd Shukor Adan menolak masuk bola muntah penjaga gol Farizal Marlias selepas menampan sepakan penalti Angan.

Kemenangan itu membolehkan JDT tidak perlu menunggu baki saingan liga untuk dinobatkan juara buat kali keenam berturut-turut berikutan mana-mana lawan terutama Pahang tidak mampu mencabar walaupun menang pada semua perlawanan.

Sementara itu kekalahan Hang Tuah di laman sendiri gagal menebus kecewa dengan jaringan sama di Larkin pada pusingan pertama dan kedudukan MU turut jatuh ke tangga keenam liga.


Pasukan JDT meraikan kemenangan menjuarai Liga Super buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat, Krubong. - NSTP/Rasul Azli Samad

2433 dibaca
Berita Harian X