Selasa, 25 Jun 2019 | 11:44pm
Pemain PKNP FC, Pedro Victor (kiri) cuba melepasi pemain PKNS FC, Gabriel Guerra pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - Ihsan PKNP FC

PKNP, PKNS kongsi mata

SERI MANJUNG: PKNP FC terpaksa berpuas hati selepas diikat seri 2-2 menentang PKNS FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.  

Beraksi di gelanggang lawan, PKNS di bawah kendalian Datuk K Rajagobal terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila pemain tengahnya, R Surendran menjaringkan gol melalui sepakan kencang pada minit ke-34 yang menewaskan penjaga gol PKNP, Khairul Thaqif Shah.   

Tersentak dengan gol itu, anak buah Abu Bakar Fadzim berusaha mencari gol penyamaan, namun sepakan Mohamad Al-Fateh Mohd Afandi berjaya dinafikan penjaga gol PKNS pada minit ke-45.   

Tuan rumah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penjuru kapten pasukan, Mohamad Hafiz Ramdan yang terus menerjah ke gawang lawan seawal tiga minit selepas babak kedua bermula.  

PKNP kemudian berjaya mendahului permainan pada minit ke-76 selepas hantaran pemain gantian, Muhammad Ibni Khozaimi disudahkan dengan tandukan Giancarlo Lopes.   

Begitupun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pelawat kembali mengikat kedudukan selang tujuh minit kemudian melalui sepakan penalti yang disempurnakan Kpah Sean Sherman.  

Penalti itu diperoleh selepas pemain PKNP, Muhammad Ibni Khozaimi menjatuhkan pemain gantian pelawat, P Gunalan dalam kotak penalti.    

Kedua-dua pasukan terus bernafsu mencari gol kemenangan namun keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X