Selasa, 25 Jun 2019 | 11:09pm
Pemain Selangor, Sandro Da Silva Mendonca (kanan) berebut bola dengan pemain Pahang, Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah ketika perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam. - NSTP/Sairien Nafis

Tok Gajah rebah di Shah Alam

SHAH ALAM: Percaturan Pahang menurunkan barisan kedua memakan diri apabila tumbang 5-2 di tangan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Pendekatan Dollah Salleh yang 'menyimpan' barisan utama susulan keletihan dan sebagai persiapan untuk aksi separuh akhir kedua Piala FA menyaksikan barisan kedua mereka gagal menyaingi skuad Selangor yang tampil dengan aksi lebih kemas khususnya pada babak pertama.

Begitupun pesta gol tuan rumah hanya bermula pada minit ke-29 menerusi tandukan Khyril Muhymeen Zambri berpunca sepakan percuma Sandro da Silva.

Ia menjadi gol kedua peribadi Khyril selepas membuka akaun golnya menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

Enam minit berselang, Ifedayo Olusegun yang beberapa kali terlepas peluang akhirnya menebus kekecewaan apabila percubaannya terbias Afif Amiruddin sekali gus mengelirukan Remezey Che Ros untuk gol kedua tuan rumah. 

Berbaki tiga minit sebelum berakhirnya babak pertama, hantaran Faiz Nasir menemui Ifedayo yang melepasi perangkap ofsaid sebelum dia mudah menggelecek Remezey untuk membolehkan Selangor terus selesa dengan kelebihan tiga gol.

Bersambung babak kedua, derita Pahang berterusan apabila Selangor hanya memerlukan 40 saat untuk meledak gol keempat, kali ini giliran Ifedayo bertindak selaku perancang selepas hantarannya disudahkan dengan satu rembatan deras oleh Endrick Dos Santos.

Penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid yang lebih banyak berehat akhirnya tewas menerusi percubaan lencong R Kogileswaran pada minit ke-67 untuk mengurangkan defisit kepada 4-1.

Selangor yang sudah mengendurkan asakan sekali lagi dikejutkan dengan gol kedua Pahang pada minit ke-76 menerusi pemain gantian, Mohammadou Sumareh yang banyak mengubah corak permainan pasukan itu selepas dimasukkan di pertengahan babak kedua.

Bagaimanapun, Ifedayo memastikan kebangkitan Pahang terpadam apabila melengkapkan hatriknya buat kali kedua musim ini pada minit ke-85 untuk Selangor pulang dengan senyuman.

Berita Harian X