Selasa, 25 Jun 2019 | 1:21am
Eden Hazard disifatkan sebagai ‘pembelian hebat’ buat Real Madrid. - Foto AFP

'Hazard pembelian hebat Real'

LONDON: Eden Hazard disifatkan sebagai ‘pembelian hebat’ buat Real Madrid, kata Ricardo Carvalho sambil menjangka pelaburan besar €100 juta (RM471.85 juta) bagi mendapatkan bintang Belgium itu akan berbaloi.

Selepas mengharungi pelbagai ‘drama’, perpindahan pemain berusia 28 tahun itu ke Santiago Bernabeu akhirnya dimuktamadkan, awal bulan ini sebagai usaha pengurus, Zinedine Zidane menjalankan rombakan besar-besaran terhadap skuad kendaliannya.

Jangkaan yang diletakkan di bahu bekas pemain Chelsea itu jelas cukup besar, dengan Real masih bergelut untuk mengisi lompong yang ditinggalkan penyerang bintangnya, Cristiano Ronaldo.

Carvalho percaya Hazard sudah bersedia untuk menyahut cabaran berkenaan selepas menghabiskan tempoh tujuh musim di Stamford Bridge dengan pelbagai kejayaan dan terbaharu trofi Liga Europa.

“Dia pembelian yang hebat,” kata Carvalho yang pernah menyarung jersi Chelsea dan Real. “Saya mengenalinya dengan baik dan saya langsung tidak ragu yang dia akan mengharunginya dengan cemerlang.

“Dia akan diberi lebih ruang di Sepanyol. Dia amat pantas, amat kuat ketika pertarungan satu lawan satu dan pasukan seperti Real dengan pemain yang hebat akan membantunya.”

Real berharap kehadiran Hazard akan menjadi permulaan yang baik selepas kelab gergasi Sepanyol itu mengharungi kempen yang ingin dilupakan musim lalu.

Mereka boleh menambah satu lagi kejuaraan iaitu Piala Dunia Kelab tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan dengan Zidane tiba beberapa bulan sebelum saingan liga melabuhkan tirainya.

Selain Hazard, Real turut sudah mendapatkan beberapa lagi pemain berkualiti termasuk Luka Jovic dan Ferland Mendy.

“Benar tahun lalu tidak berjalan seperti yang dirancang,” kata Carvalho. “Selepas beberapa tahun menang segala-galanya, kadang kala perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak. Kamu perlu membina pasukan yang hebat dan penting untuk mereka kembali menang.” - AGENSI

1828 dibaca
Berita Harian X